
BATU PAHAT – Kementerian Pendidikan (KPM) akan menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap semua perkara di bawah tanggungjawab kementerian susulan kejadian seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun yang ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah sekolah di sini sebelum disahkan meninggal dunia.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, semakan itu antaranya melibatkan rekod kehadiran murid ketika kelas tambahan selain aspek kawalan keselamatan dan rondaan di kawasan sekolah.
Menurut beliau, syarikat kawalan keselamatan yang dilantik turut diminta memberikan kerjasama bagi memastikan semua aspek berkaitan kejadian itu dapat diperiksa secara menyeluruh.
“Saya mahu semua perkara yang berada di bawah tanggungjawab Kementerian Pendidikan diperiksa dengan menyeluruh. Jangan sembunyikan apa-apa.
“Ini termasuk rekod kehadiran murid ketika kelas tambahan serta aspek kawalan keselamatan dan rondaan di sekolah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadhlina berkata, sekiranya terdapat sebarang kecuaian atau tanggungjawab yang tidak dilaksanakan sebagaimana sepatutnya, tindakan tegas akan diambil.
Beliau berkata demikian selepas berada di Yong Peng bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung kejadian yang meragut nyawa pelajar berkenaan.
Katanya, beliau turut menerima taklimat daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batu Pahat dan pihak sekolah berhubung kronologi kejadian serta tindakan yang sedang dijalankan.
“Pada masa sama, saya turut bertemu keluarga mangsa di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat.
“Dalam saat begini, tiada siapa yang merasakan kehilangan ini lebih dalam daripada keluarga. Seorang anak telah pergi. Keluarganya berhak mendapat jawapan,” katanya.
Mengulas siasatan polis, Fadhlina berkata, berdasarkan maklumat diterima daripada PDRM, mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan sekolah sebelum kemudiannya disahkan meninggal dunia.
“Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun telah ditahan dan direman selama enam hari bagi membantu siasatan.
“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Motif dan punca kejadian masih dalam siasatan pihak polis,”katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan KPM akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada PDRM dan tidak akan mendahului siasatan yang sedang dijalankan.
Katanya, sokongan kaunseling juga sedang diberikan kepada murid serta warga sekolah yang terkesan susulan kejadian tersebut.
“Kita mahu kebenaran diperoleh berdasarkan fakta dan bukan spekulasi. Berikan keluarga ruang dan hormati proses siasatan yang sedang berjalan,” katanya.-KOSMO! ONLINE
The post Bunuh di sekolah: KPM arah jangan sembunyikan apa-apa appeared first on Kosmo Online.






