Bursa Malaysia di landasan capai sasaran permodalan pasaran IPO RM34 bilion - RHB Research

LocalBusiness & Finance
29 Oct 2026 • 9:21 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Bursa Malaysia di landasan capai sasaran permodalan pasaran IPO RM34 bilion - RHB Research Image from: Bursa Malaysia di landasan capai sasaran permodalan pasaran IPO RM34 bilion - RHB Research hamden29/10/2026 - 09:21 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 29 Okt - Bursa Malaysia Bhd berada pada landasan untuk mencapai sasaran permodalan pasaran tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak RM34 bilion bagi tahun kewangan 2026 (FY26), disokong momentum penyenaraian baharu yang memberangsangkan, menurut RHB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026 (9M26), sebanyak 47 IPO direkodkan, termasuk 11 penyenaraian baharu pada suku ketiga 2026 (3Q26), yang menyumbang RM28.7 bilion kepada permodalan pasaran setakat September lalu.

 

"Sasaran permodalan pasaran IPO itu dinaikkan kepada RM34 bilion daripada RM28 bilion pada suku kedua 2026 (2Q26), manakala pihak pengurusan Bursa Malaysia menyatakan saluran IPO kekal sihat menjelang 2027," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Sehubungan itu RHB Research mengekalkan saranan BELI terhadap saham Bursa Malaysia dengan harga sasaran RM9.80 sesaham, menunjukkan potensi kenaikan sebanyak 23%, selain hasil dividen diunjurkan sebanyak 4% bagi FY26.

 

Prospek bursa itu turut disokong aktiviti dagangan yang kukuh, selain beberapa pemangkin berpotensi termasuk peluasan indeks FBM KLCI, pelaksanaan Program MY Value Up dan peluang penyenaraian sekunder yang semakin berkembang.

 

Prestasi kewangan

Dari segi prestasi kewangan, Bursa Malaysia mencatatkan keuntungan bersih RM70.2 juta bagi 3Q26, meningkat 10% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, tetapi susut 2% berbanding suku sebelumnya.

 

Keuntungan bersih terkumpul bagi 9M26 meningkat 13% tahun ke tahun (YoY) kepada RM214.8 juta, bersamaan 76% daripada unjuran setahun penuh penganalisis dan konsensus.

 

Hasil operasi bagi 9M26 berkembang 20% YoY, didorong peningkatan pendapatan dagangan sekuriti sebanyak 23% susulan pertumbuhan purata nilai dagangan harian (SADV) sebanyak 27%.

 

Hasil bukan dagangan turut meningkat 19% YoY, terutamanya disokong peningkatan yuran penyenaraian tahunan.

 

Bagaimanapun, pertumbuhan hasil itu sebahagiannya diimbangi kenaikan perbelanjaan operasi sebanyak 23% YoY, terutamanya disebabkan pelaburan berkaitan tenaga kerja dan teknologi serta yuran kawal selia.

 

Keadaan itu menyebabkan nisbah kos kepada pendapatan (CIR) meningkat kepada 54.4% bagi 9M26, berbanding 52.7% dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Pemangkin pertumbuhan 2027

Dalam perkembangan berkaitan, Bursa Malaysia merancang memperkenalkan Program MY Value Up bersama pelan hala tuju strategik baharu bagi tempoh 2027 hingga 2030 sebelum akhir 2026.

 

Perbincangan mengenai kerjasama pasaran modal Malaysia-Hong Kong yang diumumkan sebelum ini turut diteruskan, dengan minat terutamanya daripada syarikat China dan Hong Kong yang mencari peluang penyenaraian dua hala serta pendedahan lebih luas kepada pasaran Malaysia.

 

Sementara itu, pengenalan dagangan saham di pasaran Amerika Syarikat (AS) selama 23 jam sehari, berkuat kuasa 6 Disember ini, berpotensi mempengaruhi corak pelaksanaan transaksi dalam pasaran Malaysia dan AS.

 

Bagaimanapun, Bursa Malaysia menyatakan kesannya terhadap aktiviti dagangan domestik masih belum dapat dipastikan dan perlu dinilai apabila lebih banyak data pasaran tersedia. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved