sarah29/10/2026 - 14:51 Gambar dari laman web Parkland Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 Okt - Pemaju hartanah Parkland Berhad selangkah lagi ke Pasaran Utama Bursa Malaysia selepas memperoleh kelulusan bagi tawaran awam permulaan (IPO), disokong perancangan projek pembangunan bernilai RM5.05 bilion yang sebahagian besarnya tertumpu di Johor.
Kumpulan itu, yang mempunyai pengalaman selama 18 tahun dalam sektor pembinaan dan pembangunan hartanah, telah melancarkan fasa pembangunan perbandaran bersepadu serta projek hartanah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) keseluruhan RM7.4 bilion.
Menurut Parkland, kira-kira 75.5% daripada nilai projek pembangunan yang dirancang setakat 25 Mei 2026 terletak di Johor, manakala operasinya turut merangkumi Melaka dan Selangor.
Pengarah Urusan Kumpulan Parkland, Datuk Tan See Sen berkata, kelulusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) merupakan pencapaian penting dalam usaha kumpulan itu untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia.
“Cadangan IPO ini akan menyediakan platform lebih kukuh untuk mempercepatkan rancangan pembangunan kami, memperluas bank tanah dan mengukuhkan lagi kedudukan dalam industri pembangunan hartanah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
IPO Parkland merangkumi 621.54 juta saham atau kira-kira 26.3% daripada modal saham terbitan diperbesarkan sebanyak 2.36 bilion saham selepas penyenaraian, melibatkan terbitan awam 468.14 juta saham baharu dan tawaran jualan 153.40 juta saham sedia ada.
Daripada jumlah itu, sebanyak 550.74 juta saham diperuntukkan kepada pelabur institusi dan terpilih serta pelabur Bumiputera yang diluluskan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), manakala baki 70.80 juta saham ditawarkan kepada orang awam Malaysia melalui undian serta pekerja dan individu yang layak.
Hasil daripada terbitan saham baharu akan digunakan terutamanya bagi pemerolehan bank tanah dan pembiayaan modal kerja untuk projek pembangunan kumpulan, dengan Hong Leong Investment Bank bertindak sebagai penasihat utama IPO, selain menjadi ejen penempatan bersama dan penaja jamin bersama AmInvestment Bank.
Antara projek Parkland ialah Taman Kluang Perdana, Taman Bukit Perdana, Taman Parkland, Bandar Layangkasa dan Parkland by The River di Johor, selain Bandar Botani Parkland serta Parkland Avenue by The Sea di Melaka.
Selain pembangunan hartanah, Parkland turut menceburi sektor tenaga boleh baharu melalui usaha sama dengan Xinyi Power Station Development (Malaysia) Sdn Bhd bagi membangunkan loji solar berskala besar berkapasiti 99.99 megawatt (MW) di Tangkak, Johor, yang dijangka memulakan operasi komersial pada suku pertama 2027.- DagangNews.com





