hamden29/10/2026 - 10:24 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 Okt - UUE Holdings Bhd merancang meningkatkan jumlah pasukan operasi penggerudian arah mendatar (HDD) di Singapura sebanyak 50% kepada 15 pasukan dalam tempoh 12 bulan akan datang, didorong permintaan kontraktor utama untuk mempercepatkan pelaksanaan projek.
RHB Research berkata, selain pengembangan operasi di Singapura, syarikat itu turut berpotensi mendapat manfaat daripada peluang tender baharu bagi kerja-kerja penyambungan sistem solar serta peningkatan jualan paip polietilena berketumpatan tinggi (HDPE) apabila kadar penggunaan kapasiti pengeluaran meningkat.
Perkembangan itu mendorong firma berkenaan menaik taraf saranan terhadap saham UUE kepada BELI daripada NEUTRAL, dengan harga sasaran dinaikkan kepada RM0.91 daripada RM0.80, mencerminkan potensi kenaikan sebanyak 17%.
Pada masa sama, prospek pendapatan UUE disokong margin keuntungan yang kukuh, dengan pihak pengurusan menjangkakan margin keuntungan kasar (GPM) gabungan kekal antara 25% hingga 30%, manakala margin keuntungan selepas cukai menghampiri 15%.
"Segmen Singapura mencatatkan margin keuntungan sekitar 30% hingga 35%, termasuk GPM sebanyak 36.4% bagi separuh pertama tahun kewangan 2027 berakhir Februari (1HFY27).
"Pihak pengurusan turut melihat ruang untuk meningkatkan margin keuntungan bagi operasi Malaysia," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
RHB Research berkata, bagi pengembangan operasi Singapura, UUE merancang menambah dua pasukan HDD menjelang akhir November ini, menjadikan jumlah keseluruhan 12 pasukan sebelum mencapai sasaran 15 pasukan dalam tempoh 12 bulan.
Kekangan utama bagi pengembangan itu ialah ketersediaan tenaga kerja dan kelulusan permit, bukannya mesin atau peluang kerja.
Momentum pengebilan pada suku ketiga juga dilaporkan kekal stabil selepas hasil pada suku kedua tahun kewangan 2027 (2QFY27) meningkat dua kali ganda berbanding suku sebelumnya kepada RM20.2 juta.
RHB Research mengunjurkan hasil kumpulan bagi separuh kedua FY27 sebanyak RM154 juta, meningkat 13% berbanding separuh pertama.
Dalam perkembangan berkaitan, buku tender UUE di Malaysia bernilai kira-kira RM638 juta merangkumi projek utiliti Tenaga Nasional Bhd (TNB), pusat data, solar, air dan kerja HDD sektor swasta.
Buku tender itu turut merangkumi perjanjian rangka kerja dengan TNB bernilai kira-kira RM190 juta untuk tempoh dua tahun dengan pilihan lanjutan setahun, yang dijangka dianugerahkan pada tahun kewangan 2028.
Bagaimanapun, nilai kontrak baharu yang diperoleh UUE setakat tahun ini berjumlah RM133.1 juta. - DagangNews.com






