sarah30/10/2026 - 12:31 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 30 Okt - Bursa Malaysia Securities Bhd mengeluarkan pertanyaan berhubung aktiviti pasaran luar biasa (Unusual Market Activity, UMA) kepada Ni Hsin Group Bhd susulan kejatuhan mendadak harga saham syarikat itu yang disertai jumlah dagangan tinggi sejak kebelakangan ini.
Dalam pengumuman pada Jumaat, Bursa Malaysia meminta Ni Hsin menjelaskan sama ada terdapat sebarang perkembangan korporat yang belum diumumkan kepada umum sehingga boleh mempengaruhi aktiviti dagangan sahamnya.
Ini termasuk sebarang urusan atau cadangan korporat yang masih berada pada peringkat rundingan atau perbincangan, dengan syarikat diminta memberikan butiran serta status perkembangan berkenaan sekiranya ada.
Bursa Malaysia turut meminta Ni Hsin mengesahkan sama ada terdapat khabar angin atau laporan berkaitan perniagaan dan hal ehwal kumpulan yang mungkin menjadi punca pergerakan luar biasa harga serta jumlah dagangan sahamnya.
Selain itu, syarikat perlu menjelaskan sama ada pihaknya mengetahui sebarang faktor lain yang boleh menerangkan aktiviti dagangan tersebut.
Ni Hsin juga dikehendaki mengesahkan pematuhan terhadap Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia, khususnya kewajipan membuat pendedahan segera mengenai maklumat material.
Menurut Bursa Malaysia, jawapan kepada pertanyaan UMA itu perlu dibuat selepas syarikat mendapatkan maklumat daripada pengarah, pemegang saham utama serta pihak berkaitan yang lain.
Jawapan tersebut perlu mendapat pengesahan lembaga pengarah Ni Hsin dan dikemukakan segera kepada Bursa Malaysia untuk pengumuman awam melalui sistem Bursa LINK.
Bursa Malaysia turut menasihatkan pelabur supaya mengambil kira penjelasan rasmi syarikat apabila ia diterbitkan sebelum membuat keputusan pelaburan.- DagangNews.com






