
KOTA BHARU – Seorang buruh mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki sepucuk senapang angin tanpa lesen di sebuah rumah di Kampung Bedal, Kuala Krai pada tahun lalu.
Tertuduh, Mohammad Asrul Aisyal Abdullah Manap, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki satu laras senjata jenis senapang angin tanpa peluru dan tanpa lesen di sebuah rumah di Kampung Bedal, Kuala Krai dekat sini kira-kira pukul 8.15 malam pada 4 Ogos 2025.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM 10,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Asma’a Che Omar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin selain menetapkan 23 September ini untuk pembentangan fakta kes dan prosiding jatuh hukum. – KOSMO! ONLINE
The post Buruh mengaku salah miliki senapang angin appeared first on Kosmo Digital.






