
PASIR MAS: Seorang buruh mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua pertuduhan menyimbah cecair berbau busuk pada karpet dan menceroboh sebuah masjid di Tumpat, dua minggu lalu.
Manjesh Singh Shukdev Singh, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Syed Farid Syed Ali.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa memecahkan cermin dan merosakkan karpet masjid dengan cara menyimbah cecair berbau busuk apabila mengetahui bahawa penganut agama Islam akan menganggap perbuatan tersebut satu keaiban kepada agama mereka.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Manjesh Singh dituduh menceroboh masuk dengan niat melakukan satu perbuatan yang menyalahi undang-undang di masjid tersebut. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.
Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di Masjid Al-Aziz Al-Hadi, Kota SPP Warisan dekat Tumpat kira-kira pukul 4.35 pagi pada 5 Oktober 2026. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Zharifah Insyirah Zahari manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Noor Suhadah Mohamed Ripim.
Terdahulu, Nik Zharifah mencadangkan jaminan sebanyak RM12,000 bagi kedua-dua pertuduhan.
Noor Suhadah dalam rayuannya memohon ikat jamin yang minimum untuk kedua-dua pertuduhan tersebut memandangkan tertuduh memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 23 November depan untuk prosiding jatuh hukum.
Pada prosiding sama, Manjesh Singh turut mengaku bersalah atas pertuduhan memberikan kepada dirinya sendiri dadah jenis methamphetamine di Ibu pejabat Polis Daerah Tumpat dekat sini, kira-kira pukul 1 pagi pada 17 Oktober lalu.
Mahkamah membenarkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin selain menetapkan 20 Januari ini untuk serahan laporan kimia dan tertuduh tidak membayar kesemua ikat jamin tersebut. – UTUSAN
The post Buruh mengaku simbah cecair busuk dalam masjid appeared first on Utusan Malaysia.






