
TAWAU: Seorang buruh warga Indonesia dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen pada Selasa selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan pindaan memiliki 35.18 gram syabu pada Julai lalu.
Tertuduh Dedy Abdullah, 44, yang tidak mempunyai dokumen membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman pemenjaraan bermula dari tarikh tangkap dan dirujuk ke Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman.
Mengikut pertuduhan Dedy didapati memiliki dadah berbahaya jenis methamphetamine dengan berat bersih 35.18 gram di kawasan tepi jalan Kampung Otentik, Jalan Tanjung Batu Laut sekitar jam 2.30 petang pada 8 Julai 2026 selepas dilihat sedang berlegar dalam keadaan mencurigakan di kawasan tersebut.
Sebelum itu suspek yang bertindak melarikan sebelum berjaya ditangkap dan turut mengalami beberapa luka ringan di bahagian muka serta mengaku ada menyimpan syabu di dalam poket seluar.
Dedy didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan disebat tidak kurang 10 kali jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Wildan Firdaus Ahmad Fazly yang mengendalikan pendakwaan dalam hujah pemberatnya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh dengan mengambil kira kepentingan awam.
Jelasnya hal ini kerana jenayah dadah masih tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan di Sabah khususnya di daerah Tawau dan Semporna.
Wildan Firdaus turut berhujah bahawa jumlah dadah seberat 35.18 gram itu adalah tinggi dan bukan semata-mata untuk kegunaan tertuduh sendiri.
Dedy tidak diwakili peguam.






