liza19/10/2026 - 15:54 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 19 Okt – Bus Cap Berhad melantik Ma Xiyin sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif berkuat kuasa 16 Oktober 2026 bagi memperkukuh kepakaran lembaga pengarah dalam teknologi tenaga baharu, mobiliti elektrik dan pembangunan perniagaan antarabangsa.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Bus Cap berkata Ma adalah warganegara China yang mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam pengurusan korporat dan pembangunan komersial, khususnya dalam sektor tenaga baharu dan mobiliti elektrik di negara itu.
Beliau kini berkhidmat sebagai Pengarah Urusan kumpulan perniagaan Aiduke, yang terlibat dalam pelbagai bidang termasuk kenderaan elektrik, bas elektrik, infrastruktur pengecasan, bateri dan sistem penyimpanan tenaga, projek solar serta tenaga boleh baharu.
Penglibatan perniagaan kumpulan itu turut merangkumi komponen tenaga baharu dan pelaburan strategik, manakala pengalaman Ma juga meliputi teknologi mengikut keperluan tempatan serta kerjasama rentas sempadan dalam sektor tenaga baharu.
Ma memiliki ijazah dalam Pentadbiran Perniagaan dari École Supérieure de Commerce d'Amiens serta diploma dalam bidang sama dari The Open University of China.
Sokong peluasan perniagaan Bus Cap
Pengarah Eksekutif Bus Cap, Bernard Ng Chong Yan berkata pengalaman Ma dalam industri tenaga baharu dan mobiliti elektrik China akan memberikan perspektif tambahan kepada kumpulan itu ketika meneroka peluang pertumbuhan baharu.
Beliau berkata, sepanjang 58 tahun beroperasi dalam industri pembuatan bas, Bus Cap telah membina asas perniagaan dalam sektor berkenaan, namun perkembangan industri pengangkutan memerlukan syarikat itu melihat peluang yang melangkaui lebih dari sekadar pembuatan kenderaan semata-mata.
Menurutnya, teknologi, infrastruktur pengecasan, sistem penyimpanan tenaga dan perkhidmatan sepanjang kitar hayat kenderaan akan menjadi komponen semakin penting dalam pembangunan ekosistem mobiliti.
“Pengalaman komersial Ma dalam bidang berkenaan relevan ketika Bus Cap menilai peluang dalam pasaran kenderaan komersial tenaga baharu, selain membantu kumpulan untuk mempertimbangkan kerjasama antarabangsa, penyesuaian teknologi tempatan dan potensi pengembangan perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Teroka kerjasama dengan BYD Malaysia
Pelantikan itu menyusuli pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) eksklusif antara Bus Cap dengan BYD Malaysia Sdn Bhd pada 18 Ogos 2026 bagi meneroka kerjasama strategik untuk membangunkan platform kenderaan komersial tenaga baharu di Malaysia.
Cadangan kerjasama itu merangkumi pembangunan kemudahan pemasangan dan pembuatan bas elektrik selain penyesuaian produk mengikut keperluan pasaran tempatan, jualan, pemasaran, pengedaran serta perkhidmatan selepas jualan.
Kedua-dua pihak turut meneroka struktur pelaburan dan operasi yang sesuai bagi menyokong kerjasama berkenaan.
Bus Cap berkata pembuatan bas konvensional kekal sebagai asas utama pendapatan Kumpulan dan pada masa sama membangunkan keupayaan jangka panjang dalam kenderaan komersial tenaga baharu, teknologi pintar dan perkhidmatan sepanjang kitar hayat kenderaan. - DagangNews.com






