amree08/10/2026 - 10:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 8 Okt — Salutica Berhad merancang mengumpul modal sehingga RM16.18 juta menerusi terbitan saham secara penempatan persendirian bagi membiayai pengembangan ke dalam perniagaan pembangunan hartanah dan pembinaan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata cadangan berkenaan melibatkan penerbitan sehingga 30% daripada saham terbitannya, tidak termasuk saham perbendaharaan, kepada pelabur pihak ketiga yang akan dikenal pasti kelak.
Ia berdasarkan harga terbitan secara ilustrasi sebanyak 11.5 sen sesaham, namun harga terbitan akhir ditetapkan kemudian pada diskaun tidak lebih 20% daripada harga purata wajaran volum lima hari saham sebelum tarikh penetapan harga.
"Daripada hasil tersebut, sehingga RM8 juta akan diperuntukkan untuk mengembangkan perniagaan pembangunan hartanah dan pembinaan yang dicadangkan, manakala RM8 juta lagi bagi mengembangkan operasi pembuatan sedia ada," kata Salutica.
Cadangan mempelbagaikan perniagaan itu merangkumi aktiviti pembangunan hartanah, pembinaan dan aktiviti berkaitan, termasuk kerja reka bentuk dan bina, perdagangan serta pembekalan bahan binaan, pengurusan hartanah dan pelaburan hartanah.

Langkah berkenaan ujarnya, dilihat dapat mempelbagaikan sumber pendapatan kumpulan tersebut serta mengurangkan kebergantungan tinggi terhadap perniagaan pembuatan, yang ketika ini menyumbang keseluruhan hasil syarikat itu.
Segmen pembuatan Salutica mencatat kerugian sejak beberapa tahun kewangan kebelakangan ini, dengan kerugian bersih RM23.75 juta bagi tempoh 12 bulan berakhir 30 Jun 2026, berbanding RM29.76 juta pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025.
"Bagi perniagaan baharu itu, peringkat awal menyasarkan projek pembinaan dan berkaitan hartanah berskala kecil sebelum beralih kepada projek lebih besar apabila kumpulan memperoleh pengalaman serta keupayaan yang diperlukan," katanya.
Bagaimanapun tambah kumpulan berkenaan, setakat 15 September 2026, syarikat itu masih belum lagi memperoleh atau memeterai sebarang projek pembinaan, pembangunan hartanah atau pelaburan hartanah.
Cadangan penempatan persendirian dan kepelbagaian perniagaan itu masih tertakluk kepada kelulusan pemegang saham Salutica pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang akan datang. - DagangNews.com






