Butiran siri cip pemprosesan Intel Nova Lake yang dijangka akan dilancarkan pada penghujung tahun 2026 nampaknya telah tertiris, khususnya siri cip pemprosesan Intel Nova Lake Mobile untuk komputer riba.
Butiran ini diperlihatkan oleh Jaykihn di Twitter, dan telah dilaporkan oleh sejumlah laman web berita teknologi yang lain. Beliau nampaknya memperlihatkan butiran teras untuk kedua-dua siri cip pemprosesan Intel Panther Lake-H untuk komputer riba yang akan diperkenalkan pada penghujung tahun ini bersama-sama dengan butiran siri cip pemprosesan Intel Nova Lake Mobile.
Nova Lake Mobile
2+0+4+2
4+0+4+4
4+8+4+4
4+8+4+12
8+16+4+4
Apa yang paling menarik mengenai maklumat ini ialah cip Intel Nova Lake HX akan memperlihatkan penawaran cip pemprosesan 28 teras yang terdiri daripada lapan teras Performance, 16 teras Efficiency dan empat teras Low-Power Efficiency. Dalam pada itu, cip-cip pemprosesan Nova Lake Mobile ini juga nampaknya akan dipadankan dengan cip pemprosesan grafik Intel Xe3 “Celestial” dengan empat teras terbina.
Apa yang menarik lagi mengenai cip pemprosesan ini juga ialah cip pemprosesan Nova Lake ini akan menggunakan teras Performance menggunakan cip Coyote Cove dan teras Efficiency menggunakan cip Arctic Wolf sama seperti apa yang digunakan dalam cip pemprosesan Nova Lake kelas desktop. Untuk model tersebut, ia dijangka bahawa cip Nova Lake paling berkuasa dijangka tiba dengan sebanyak 52 teras fizikal.

Apa-apa pun, buat masa ini, butiran ini boleh dilihat sebagai pelan awal Intel untuk memperkenalkan siri cip pemprosesan komputer baru yang jauh lebih berkuasa berbanding penawaran sebelum ini. Seperti yang dikatakan, siri cip ini hanya akan diperlihatkan sekitar penghujung tahun 2026, dan butiran-butiran ini mungkin masih akan bertukar kelak.
Apa yang pasti ialah Intel dijangka akan memperkenalkan siri cip pemprosesan komputer riba yang cukup berkuasa, mungkin untuk menandingi penawaran komputer desktop mereka sendiri.


