amree12/10/2026 - 11:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 12 Okt – Persatuan Perusahaan Fotovoltaik dan Tenaga Lestari Malaysia (MPSEA) menggesa kerajaan memperjelas garis panduan pelaksanaan serta mempercepat proses kelulusan bagi merancakkan pelaburan tenaga boleh baharu susulan pembentangan Belanjawan 2027.
Pelaburan dalam sektor solar dan penyimpanan tenaga juga perlu dipertingkat seiring keputusan kerajaan melanjutkan insentif cukai teknologi hijau hingga 2030 bagi mempercepat peralihan tenaga serta memperkukuh pembangunan tenaga boleh diperbaharui (RE) di Malaysia.
Secara keseluruhan, ia melihat langkah berkenaan sebagai positif bagi meningkatkan keyakinan pelabur, namun perlu disokong pelaksanaan dasar jelas serta kerjasama berterusan antara kerajaan dan pemain industri.
Presidennya, Ir Ts Justin Sim berkata, lanjutan hingga 31 Disember 2030, termasuk Elaun Cukai Pelaburan (ITA) 100% bagi projek dan aset teknologi hijau yang layak, mampu menggalakkan pelaburan baharu serta memperluas penggunaan teknologi fotovoltaik solar (PV) dan sistem penyimpanan tenaga.
"Komitmen dasar jangka panjang itu penting bagi menyediakan kepastian kepada pelabur, pemaju dan syarikat yang terlibat dalam industri tenaga boleh baharu negara," jelas beliau dalam kenyataan.
Bagaimanapun ujar beliau, MPSEA menegaskan insentif kewangan tersebut perlu disertai dengan penyelarasan lebih erat antara kerajaan, pengawal selia, syarikat utiliti dan pemain industri bagi memastikan projek RE dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.
Tambahnya, antara perkara yang memerlukan perhatian ialah proses kawal selia, keperluan sambungan ke grid elektrik serta cabaran pelaksanaan projek yang berpotensi menyebabkan kelewatan pembangunan industri tersebut.

MPSEA turut menyambut baik pelaburan RM15 bilion bagi memperkukuh grid elektrik negara, yang disifatkan penting untuk meningkatkan kebolehpercayaan sistem, menyokong integrasi RE dan memudahkan penggunaan teknologi solar serta penyimpanan tenaga secara lebih meluas.
"Pada masa sama, kami menggesa kerajaan menyediakan garis panduan pelaksanaan yang jelas berhubung kelayakan dan penggunaan insentif cukai dipertingkat, khususnya bagi pelaburan solar PV dan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS)," kata Justin.
Di samping itu, MPSEA turut menekankan keperluan sokongan lebih besar terhadap sistem penyimpanan tenaga bagi meningkatkan tahap fleksibiliti grid serta membolehkan lebih banyak RE akan dapat disepadukan ke dalam sistem elektrik negara.
Selain itu, proses kelulusan kawal selia dan sambungan grid perlu dipermudah, manakala akses kepada pembiayaan serta insentif bersesuaian perlu diperluas kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pengguna komersial dan industri serta syarikat RE tempatan.
Justin berkata, MPSEA berharap kerjasama berterusan antara kerajaan dan pihak berkepentingan dapat memastikan inisiatif Belanjawan 2027 menghasilkan kemajuan nyata kepada industri, sekali gus memperkukuh pembangunan RE dan menyokong peralihan tenaga Malaysia. - DagangNews.com






