CRESS: Pemaju tenaga boleh baharu nikmati caj tetap 14 sen/kWj selama 10 tahun, pengguna hijau dikenakan 4 sen/kWj

LocalBusiness & Finance
16 Oct 2026 • 11:59 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

CRESS: Pemaju tenaga boleh baharu nikmati caj tetap 14 sen/kWj selama 10 tahun, pengguna hijau dikenakan 4 sen/kWj Image from: CRESS: Pemaju tenaga boleh baharu nikmati caj tetap 14 sen/kWj selama 10 tahun, pengguna hijau dikenakan 4 sen/kWj sarah16/10/2026 - 11:59 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 16 Okt - Pemaju tenaga boleh baharu yang layak bakal menikmati Caj Akses Sistem (SAC) tetap sebanyak 14 sen bagi setiap kilowatt-jam (kWj) selama 10 tahun di bawah Pakej Percepatan CRESS (CAP), manakala pengguna tenaga hijau dikenakan caj CRESS berasingan sebanyak 4 sen/kWj.

 

Suruhanjaya Tenaga (ST) berkata, struktur caj baharu itu bertujuan memberikan kepastian kos jangka panjang kepada pemaju tenaga boleh baharu, di samping memastikan pengagihan kos dan risiko yang lebih telus serta saksama antara pemaju dengan pengguna tenaga hijau.

 

Tambah ST, kadar SAC tetap 14 sen/kWj akan berkuat kuasa bermula dari Tarikh Operasi Komersial (COD) bagi projek yang layak dan mampu memulakan operasi selewat-lewatnya pada 31 Disember 2028, tertakluk kepada syarat ditetapkan.

 

“Penetapan kadar tetap ini bertujuan memberikan kepastian lebih tinggi terhadap kos akses sistem, menyokong pembiayaan serta meningkatkan daya maju projek untuk mendapatkan pembiayaan,” menurut kenyataan.

 

ST menjelaskan bahawa projek yang menyertai pakej berkenaan juga perlu memberikan komitmen terhadap tempoh kontrak minimum selama 10 tahun.

 

Caj pengguna hijau diasingkan daripada kos pembangunan projek

Bagi pengguna tenaga hijau pula, ST berkata, caj CRESS sebanyak 4 sen/kWj dikenakan berdasarkan tarif semasa Tempoh Kawal Selia Keempat (RP4) dan tertakluk kepada semakan mengikut mekanisme tarif terkawal yang turut terpakai kepada pengguna elektrik lain.

 

Caj tersebut dikira berdasarkan penggunaan elektrik oleh pengguna tenaga hijau dan diasingkan daripada kos pembangunan projek serta SAC yang dikenakan kepada pemaju tenaga boleh baharu, selaras dengan perbezaan aktiviti dan risiko yang ditanggung setiap pihak.

 

“Pengasingan caj ini berpandukan prinsip kos yang mencerminkan kos sebenar, pengagihan kos secara saksama, pembahagian risiko yang adil serta ketelusan kepada semua peserta,” katanya.

 

Dalam perkembangan berkaitan, ST memaklumkan kira-kira 3 gigawatt (GW) projek kini berada dalam perancangan di bawah CRESS, mencerminkan minat berterusan sektor korporat terhadap pemerolehan tenaga boleh baharu. Perincian CAP turut dibentangkan dalam taklimat bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB), Pembeli Tunggal dan Pengendali Sistem Grid pada 13 Oktober lalu, susulan pengumuman pakej itu oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) pada 18 September 2026.

 

ST turut menjelaskan bahawa peserta industri telah diberikan penerangan mengenai pengiraan dan pengagihan kos, termasuk potensi penjimatan berbanding struktur SAC terdahulu, tanpa menyatakan jumlah penjimatan khusus. Pindaan tambahan kepada Garis Panduan CRESS yang merangkumi CAP serta penambahbaikan teknikal, operasi dan prosedur dijangka diterbitkan menjelang November 2026 bagi memudahkan pelaksanaan projek tenaga boleh baharu negara.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved