KUALA KANGSAR - Polis sedang berusaha mengesan waris dan mengenal pasti identiti seorang wanita dipercayai warga asing yang ditemukan meninggal dunia di Sungai Perak berhampiran Jeti Lembah, di sini pada 14 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Heisham Harun berkata, mayat wanita berkenaan ditemukan selepas pihaknya menerima panggilan daripada seorang lelaki warga tempatan kira-kira jam 3.12 petang pada hari kejadian.
Menurutnya, bedah siasat dijalankan Pakar Patologi Forensik Hospital Taiping mendapati mayat berkenaan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.
"Mayat dipercayai bukan warga tempatan berdasarkan tiada kesan suntikan BCG selain semakan identiti melalui carian cap ibu jari oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perak juga tidak menemukan sebarang rekod sepadan.
"Pemeriksaan pergigian mendapati simati berusia dalam lingkungan 30-an," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Heisham berkata, wanita berkenaan mempunyai ketinggian kira-kira 154 sentimeter dan berat 48 kilogram, berkulit sawo matang serta berambut hitam paras bahu.
Katanya, ketika ditemukan, simati lengkap berpakaian dengan memakai baju lengan panjang berbelang putih dan hitam, seluar jeans hitam serta anting-anting.
"Kes ini diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Asisten Superintenden Mohamad Fadhil Ab Wahab dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuala Kangsar di talian 019-7272033," katanya.
Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat kepada Bilik Gerakan IPD Kuala Kangsar di talian 05-7762222.
Media sebelum ini melaporkan satu mayat ditemukan di dalam beg pakaian di sungai berhampiran Jeti Dataran Lembah di sini.
Polis kemudian mengesahkan mayat yang ditemukan dalam beg pakaian di lokasi berkenaan adalah seorang wanita berusia lingkungan 30-an.
Mayat mangsa yang dipercayai warga asing itu kemudian dihantar ke Hospital Taiping untuk tindakan lanjut.





