
Dalam dunia yang semakin canggih, ramai ibu bapa memilih untuk mendedahkan anak-anak mereka dengan gajet.
Ada ibu bapa yang menggunakan gajet untuk mendidik anak-anak mengenai pelbagai aspek seperti membaca, mewarna serta menguji minda.
Bagaimanapun, pendedahan gajet yang berlebihan boleh memberi implikasi negatif kepada kanak-kanak terutama dalam aspek perkembangan minda dan sosial.
Menurut data terkini daripada kajian Children of the 2020s, kanak-kanak berusia dua tahun menonton televisyen, video atau kandungan digital lain dalam tempoh purata dua jam setiap hari.
Angka tersebut dua kali ganda daripada masa skrin harian yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia untuk kumpulan umur berkenaan.
Menyedari hakikat itu, K-Wanita pada minggu ini kongsikan lima cara untuk mengurangkan waktu kanak-kanak menatap skrin gajet terutamanya ketika masa lapang.
Lakukan aktiviti menyeronokkan
Kanak-kanak lebih cenderung mengabaikan gajet sekiranya ada sesuatu aktiviti atau perkara yang menyeronokkan di sekeliling mereka.
Justeru itu, ibu bapa boleh membawa anak-anak melakukan aktiviti seperti bermain basikal di taman, membuat kek di dapur atau bermain air di kolam.
Aktiviti-aktiviti tersebut secara semula jadi akan menjauhkan kanak-kanak daripada menghabiskan masa di depan skrin.
Tetapkan waktu khusus
Bagi kumpulan umur antara empat hingga 12 tahun, ibu bapa boleh memberi sedikit kebebasan bermain gajet, namun dengan menetapkan sempadan yang jelas.
Justeru itu, ibu bapa boleh membiarkan anak-anak mereka bermain gajet selama sejam sehari.
Bagaimanapun, waktu tersebut perlulah diisi dengan sesuatu yang berfaedah seperti mengambil gambar, membuat tugasan atau mencari maklumat.

Letakkan syarat tertentu
Ramai ibu bapa sedar, agak susah untuk memisahkan kanak-kanak pada zaman ini dengan gajet. Justeru itu, manfaatkan fenomena tersebut dengan sesuatu yang positif.
Menurut pakar, ibu bapa boleh menetapkan sesuatu tugasan kepada anak-anak terlebih dahulu seperti membuat kerja rumah atau mengulang kaji pelajaran, sebelum dibolehkan bermain peranti.
Jadikan gajet sukar diakses
Salah satu sebab kanak-kanak menghabiskan masa bermain gajet adalah kerana mudah diakses. Jadi, ibu bapa disarankan untuk menyimpan gajet di tempat yang sukar diakses oleh kanak-kanak.
Sekiranya perlu, ibu bapa tidak perlu membeli gajet kepada anak-anak bagi mengelak penggunaan berlebihan.
Sekiranya ingin bermain gajet, mereka boleh menggunakan telefon pintar atau komputer riba anda.
Jadi contoh yang baik
Biasanya, kanak-kanak gemar mengikut contoh orang di sekeliling mereka. Tunjukkan teladan kepada anak-anak dengan mengurangkan masa anda menatap telefon, komputer riba, tablet atau televisyen pada setiap hari.
Gunakan masa itu untuk bermain dengan anak-anak anda di halaman belakang rumah atau bawa mereka ke taman. Jika anak-anak melihat bahawa ibu bapanya boleh berseronok tanpa gajet, maka mereka akan mengikutinya.
The post Cara kurangkan waktu skrin kanak-kanak appeared first on Kosmo Digital.






