Cari kelemahan sistem keselamatan KLIA

LocalPolitics
4 Aug 2026 • 2:12 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Cari kelemahan sistem keselamatan KLIA

PETALING JAYA: Siasatan membabitkan penyeludupan dadah oleh seorang pembantu juruterbang tempatan perlu terarah kepada kelemahan sistem keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) turut menggesa penubuhan pasukan siasatan bebas kerana kes berkenaan menunjukkan keperluan untuk menilai semula keseluruhan prosedur sedia ada.

Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, siasatan perlu tertumpu kepada sistem keselamatan lapangan terbang, bukannya terhadap mana-mana individu atau agensi.

“Jika semua prosedur keselamatan didakwa dipatuhi tetapi ancaman masih gagal dikesan, keadaan itu menunjukkan keperluan untuk menilai semula keseluruhan prosedur sedia ada.

“Isu sebenar bukanlah menentukan agensi mana yang bertanggungjawab tetapi bagaimana dadah dalam kuantiti yang begitu besar boleh melepasi sistem keselamatan sebuah lapangan terbang antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) memaklumkan, juruterbang terbabit telah melepasi semua pemeriksaan keselamatan di KLIA manakala pemeriksaan bagasi berada di bawah tanggungjawab Aviation Security (AVSEC).

Jais berkata, pasukan siasatan bebas perlu melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), AKPS, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), syarikat penerbangan dan pakar keselamatan penerbangan.

Menurutnya, pasukan itu perlu mengenal pasti sama ada insiden itu berpunca daripada kelemahan teknologi, kecuaian manusia atau kewujudan unsur jenayah terancang dalam sistem keselamatan penerbangan negara.

“Kes ini bukan sekadar melibatkan seorang juruterbang, sebaliknya menyentuh kredibiliti sistem keselamatan negara, reputasi industri penerbangan Malaysia dan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap integriti pintu masuk negara.

“Jika terdapat kelemahan, ia mesti diperbetulkan dengan segera, secara telus dan tanpa sebarang kompromi,” katanya. – UTUSAN

The post Cari kelemahan sistem keselamatan KLIA appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved