CBH Engineering berpeluang raih lagi RM300 juta kontrak baharu disokong projek pusat data – TA Research

Business & Finance
8 Oct 2026 • 10:40 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

CBH Engineering berpeluang raih lagi RM300 juta kontrak baharu disokong projek pusat data – TA Research Image from: CBH Engineering berpeluang raih lagi RM300 juta kontrak baharu disokong projek pusat data – TA Research amree08/10/2026 - 10:40 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 8 Okt — CBH Engineering Holding Berhad berpeluang meraih lagi kontrak baharu sehingga RM300 juta, dipacu projek berkaitan pusat data (DC), berdasarkan buku tender aktif kumpulan bernilai RM1 bilion, menurut TA Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata kira-kira 80% daripada buku tender tersebut terdiri daripada projek berkaitan pusat data (DC), manakala baki 20% melibatkan projek bukan DC, sekali gus memberikan ruang untuk terus mengembangkan buku tempahannya.

 

Berdasarkan kepada kadar kejayaan tender sejarah kumpulan berkenaan sekitar 25% hingga 30%, ia menganggarkan buku tender yang sedia ada berpotensi diterjemahkan kepada perolehan kontrak baharu bernilai antara RM250 juta hingga RM300 juta.

 

"Angka ini tidak mengambil kira peluang tambahan berkaitan DC yang masih dalam proses dimuktamadkan dan belum dimasukkan dalam buku tender CBH Engineering, serta membuka ruang kepada potensi kontrak baharu lebih tinggi," jelas analisis TA Research.

 

Tambahnya, momentum perolehan kontrak kekal kukuh apabila kumpulan itu sudah memperoleh kontrak baharu bernilai RM477.3 juta setakat FY26, bersamaan kira-kira 79.6% daripada sasaran RM600 juta bagi keseluruhan tahun kewangan tersebut.

 

Ia menjangkakan penambahan kontrak yang kukuh dapat meningkatkan keterlihatan pendapatan, selain berpotensi menjadi pemangkin kepada semakan naik unjuran keuntungan dan penilaian saham sekiranya kadar kejayaan tender adalah kekal tinggi.

 

CBH Engineering_DagangNews2026

 

Dari segi prestasi semasa ujar TA Research, CBH Engineering merekodkan keuntungan bersih teras RM42.6 juta bagi 1HFY26, naik 170.4% didorong pengembangan margin serta perancangan projek, perolehan dan pengurusan kos yang lebih berkesan.

 

"Margin bersih teras pada 1HFY26 mencapai 20%, mengatasi andaian kami sebanyak 15%, manakala 90% daripada baki buku tempahan kini terdiri daripada projek pencawang elektrik berkaitan DC yang mempunyai margin lebih tinggi," jelasnya lagi.

 

Berdasarkan baki buku tempahan yang belum dibilkan RM890 juta, pihak pengurusan menjangkakan 40% dapat diiktiraf pada 2HFY26, bersamaan RM356 juta, dengan dijangka menyokong prestasi lebih kukuh bagi tempoh separuh kedua tahun kewangan.

 

Sehubungan itu, TA Research menaikkan andaian margin bersih CBH Engineering bagi FY26 hingga FY28 kepada 17% daripada 15% sebelum ini, sekali gus meningkatkan unjuran keuntungan masing-masing sebanyak 13.3% (FY26), 13.9% (FY27) dan 13.3% (FY28).

 

Firma itu turut menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM1.42 daripada RM1.12, sambil mengekalkan pandangan positif terhadap kedudukan kumpulan dalam pembinaan infrastruktur DC dan keupayaan mekanikal serta elektrikal  (M&E) bersepadu. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved