hamden06/10/2026 - 10:17 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Okt - Ibraco Bhd mengekalkan sasaran jualan sebanyak RM300 juta bagi FY26 meskipun jualan separuh pertama tahun kewangan 2026 (1HFY26) hanya mencapai RM117.3 juta, atau 39% daripada sasaran setahun penuh, menurut TA Research.
Firma penyelidikan itu yang mengadakan pertemuan dengan pengurusan Ibraco turut melihat prospek segmen pembinaan, saluran projek infrastruktur Sarawak serta perkembangan projek solar 100MWac di Bintulu bagi menyokong pendapat kumpulan.
Menurut TA Research, fasa pertama apartmen servis di NorthBank Business Exchange yang dilancarkan pada 14 September 2026 telah mencapai kadar pengambilan sekitar 20% setakat ini.
Pihak pengurusan menjangkakan kadar jualan lebih perlahan berikutan harga jualan projek itu melebihi RM900 bagi setiap kaki persegi, dengan kadar pengambilan dijangka meningkat secara berperingkat sepanjang tempoh pembinaan 60 bulan.
"Kadar pengambilan awal sebanyak 20% adalah munasabah memandangkan projek tersebut baru dilancarkan.
“Pelancaran akan datang serta anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sekitar RM769 juta yang masih belum dijual daripada beberapa projek sedang dibangunkan dijangka terus menyokong jualan,” katanya dalam nota penyelidikan.
Pensijilan ART selesai, KUTS Green Line jadi tumpuan
Sementara itu, aktiviti segmen pembinaan Ibraco dijangka meningkat pada separuh kedua FY26 (2HFY26) susulan penyelesaian kekangan pensijilan ART sebelum ini.
Pengurusan menjangkakan kira-kira RM300 juta hasil daripada projek KUTS Blue Line akan diiktiraf pada suku ketiga dan keempat FY26, dengan projek itu dijangka siap pada Disember 2026.
Dari segi penggantian kontrak, Ibraco sedang membida beberapa projek pembinaan sektor kerajaan dan swasta, dengan beberapa tender telah dikemukakan.
Syarikat itu juga sedang membuat persediaan untuk menyertai tender KUTS Green Line.
TA Research berkata, dengan projek KUTS Blue Line menghampiri penyelesaian, kemenangan kontrak baharu menjadi penting untuk mengisi semula buku pesanan serta menyokong pendapatan segmen pembinaan sehingga FY27.
“Saluran projek infrastruktur Sarawak kekal besar, dengan 852 projek bernilai RM52.4 bilion dikenal pasti di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
“Daripada jumlah itu, RM26.5 bilion adalah projek yang sedang dalam pembinaan, manakala RM25.8 bilion lagi dalam peringkat penyediaan tender,” katanya.
Infrastruktur air Sarawak, IBRACO ada kelebihan
TA Research berkata penglibatan Ibraco dalam pembangunan infrastruktur Sarawak disokong rekod prestasi syarikat dalam projek ART, jalan raya, jambatan dan bangunan kerajaan, selain keupayaan dalaman dalam operasi kuari, premix, konkrit siap bancuh dan pembuatan paip MSCL.
Infrastruktur air turut dilihat sebagai bidang berpotensi bagi Ibraco meraih kontrak baharu.
Sarawak memerlukan lebih RM20 bilion pelaburan untuk mencapai liputan bekalan air sepenuhnya menjelang 2030, dengan RM1.1 bilion diperuntukkan bagi kerja penggantian paip dalam tempoh lima tahun.
Keadaan itu dijangka menyokong permintaan terhadap paip air berdiameter lebih besar dan memberi manfaat kepada perniagaan pembuatan paip MSCL Ibraco.
Kilang MSCL syarikat mempunyai kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 30,000 tan metrik dan kini beroperasi pada kadar penggunaan kapasiti sekitar 60%.
Dalam perkembangan lain, projek solar Bintulu berkapasiti 100MWac yang disertai Ibraco melalui Equinox Power Sdn Bhd turut berada di landasan.
Ibraco mempunyai pegangan 24.5% dalam Equinox Power, bersama SD Guthrie Renewable Energy Sdn Bhd dengan pegangan sama, manakala Asia Meranti Sdn Bhd memegang 51%.
Projek itu disokong perjanjian pembelian tenaga (PPA) selama 30 tahun, dengan penutupan kewangan disasarkan menjelang Ogos 2027 dan operasi komersial dijangka bermula pada Disember 2029.
“Walaupun sumbangan kepada pendapatan dalam tempoh terdekat dijangka sederhana, kami positif terhadap potensi pendapatan berulang daripada projek tersebut.
“Kami belum mengambil kira sebarang sumbangan projek ini dalam unjuran kami pada peringkat ini,” katanya.
Susulan perkembangan tersebut, penganalisis mengekalkan unjuran pendapatan Ibraco bagi FY26 hingga FY28 tanpa perubahan.
Keterlihatan pendapatan masa depan turut disokong jualan belum dibil berjumlah RM252 juta serta buku pesanan pembinaan tertunggak sebanyak RM657 juta.
TA Research mengekalkan harga sasaran berdasarkan jumlah bahagian (SOP) sebanyak RM1.52 sesaham dan syor Beli bagi Ibraco. - DagangNews.com






