Kerja pelebaran jalan, pembinaan jambatan ke Pulau Jerejak bermula September

LocalBusiness & Finance
14 Aug 2026 • 3:06 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kerja pelebaran jalan, pembinaan jambatan ke Pulau Jerejak bermula September

GEORGE TOWN : Kerja-kerja pelebaran jalan serta pembinaan sebuah jambatan sepanjang satu kilometer (km) yang menghubungkan bahagian pulau di sini sehingga ke Pulau Jerejak akan bermula bulan depan.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata, projek mega yang dianggarkan bernilai kira-kira RM500 juta itu dijangka siap dalam tempoh tiga tahun iaitu menjelang Mac 2029.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru berkata, apabila siap kelak, jambatan berkenaan akan mempunyai empat lorong iaitu masing-masing dua lorong bagi setiap arah, selain laluan pejalan kaki dan basikal.

“Mengikut perancangan, akses ke jambatan itu akan bermula dari kawasan bulatan berhampiran Queensbay dan Jambatan Harapan serta dihubungkan dengan Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu. Bagaimanapun, reka bentuknya masih diperhalusi ketika ini.

“Saya telah mencadangkan agar jambatan itu nanti mempunyai reka bentuk ikonik yang mampu menjadi tarikan (kepada pelancong) dan ia diterima. Pemaju juga telah bersetuju untuk mendapatkan khidmat dua pereka antarabangsa dan seorang arkitek tempatan bagi menghasilkan reka bentuk berkenaan,” katanya.

Terdahulu, beliau meluangkan masa mengedarkan Jalur Gemilang sempena Hari Kebangsaan kepada orang ramai termasuk penjaja dan peniaga di premis makanan di Sungai Nibong di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Tze Tzin percaya pulau kecil berkeluasan kira-kira 362 hektar itu berpotensi untuk dibangunkan sebagai pusat kewangan yang menghimpunkan pemodal teroka, institusi perbankan serta pelabur dalam bidang teknologi bagi melengkapi ekosistem semikonduktor dan teknologi tinggi khususnya di Bayan Lepas.

“Pulau Pinang ketika ini merupakan hab untuk industri berteknologi tinggi seperti semikonduktor dan sebagainya. Masalahnya ialah, kita kekurangan dana, pelabur serta institusi kewangan untuk membantu syarikat teknologi tempatan berkembang ke tahap seterusnya.

“Dalam hal ini, mereka (pelabur) mempunyai teknologi, tetapi, kita pula memerlukan pembiayaan dan pelabur untuk membuat pelaburan. Oleh itu, saya melihat projek pembangunan Pulau Jerejak ini mampu menjadi pelengkap yang baik kepada industri berteknologi tinggi di Pulau Pinang,” katanya.

Difahamkan, sebanyak 32.37 hektar daripada keluasan keseluruhan pulau itu kini dirancang untuk dibangunkan secara bersepadu menerusi pembinaan beberapa fasiliti dan kemudahan termasuk resort, apartmen servis, pusat kewangan dan sebagainya bagi mewujudkan satu ekosistem untuk menarik pelabur untuk beroperasi di situ.-UTUSAN

 

The post Kerja pelebaran jalan, pembinaan jambatan ke Pulau Jerejak bermula September appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved