PAAB terbit Sukuk Biru RM720 juta bagi pembiayaan infrastruktur air mampan

LocalBusiness & Finance
31 Jul 2026 • 2:52 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

PAAB terbit Sukuk Biru RM720 juta bagi pembiayaan infrastruktur air mampan Image from: PAAB terbit Sukuk Biru RM720 juta bagi pembiayaan infrastruktur air mampan hamden31/07/2026 - 14:52 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 31 Julai - Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) berjaya menerbitkan Sukuk Biru bernilai RM720 juta, yang disifatkan sebagai penerbitan terbesar seumpamanya di dunia bagi pembiayaan infrastruktur air mampan berasaskan kewangan Islam.

 

Terbitan itu dilaksanakan menerusi syarikat tujuan khasnya, Pengurusan Air SPV Bhd, di bawah Program Kertas Komersial Islam sedia ada bernilai RM2 bilion.

 

PAAB berkata, penerbitan tersebut menerima sambutan menggalakkan daripada pelabur institusi dengan jumlah tempahan mencecah RM770 juta, mewakili lebihan langganan sebanyak 1.54 kali berbanding saiz terbitan awal sebanyak RM500 juta.

 

Menurut syarikat itu, kejayaan berkenaan meletakkan PAAB di barisan hadapan pasaran modal hutang kewangan Islam mampan bagi sektor infrastruktur air menerusi Rangka Kerja Kewangan Islam Mampan (Sustainable Islamic Finance Framework, SIFF).

 

Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Zulkiflee Omar berkata, penerbitan Sukuk Biru itu mencerminkan keyakinan tinggi pelabur terhadap kekuatan kredit syarikat, pengurusan kewangan yang berhemat serta strategi pembiayaan mampan jangka panjang.

 

“Penerbitan Sukuk Biru ini turut mencerminkan komitmen PAAB terhadap ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus dalam amalan kewangan serta operasi bagi menyokong agenda kemampanan.

 

“PAAB akan terus menggerakkan modal mampan bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju global dalam kewangan Islam mampan, di samping memperkukuh jaminan bekalan air negara serta menyokong agenda pembangunan mampan,” katanya dalam satu kenyataan.

 

SIFF merupakan rangka kerja pertama di Malaysia yang menggabungkan ciri-ciri Pembiayaan Biru (Blue Finance) dan dibangunkan bersama Maybank Investment Bank Bhd selaku Penasihat Tunggal Penstrukturan Kemampanan.

 

Penanda Aras Baharu

Rangka kerja itu turut menerima Penarafan Kewangan Mampan Platinum, iaitu penarafan tertinggi yang diberikan oleh RAM Sustainability kerana memenuhi prinsip kewangan mampan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa serta amalan terbaik pasaran global.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Investment Bank, Michael Oh-Lau berkata, penerbitan tersebut menetapkan penanda aras baharu dalam pembiayaan infrastruktur air mampan.

 

“Ia membuktikan potensi pembiayaan biru dalam menggerakkan modal jangka panjang bagi pembangunan infrastruktur air di Malaysia serta rantau ASEAN,” katanya.

 

PAAB dijadual menerima hasil terbitan tersebut pada 3 Ogos 2026 dan dana itu akan digunakan untuk membiayai portfolio Projek Layak Biru yang dikenal pasti di bawah SIFF.

 

Antara projek yang bakal menerima pembiayaan ialah Loji Rawatan Air Jernih di Melaka, Loji Rawatan Air Tok Bali di Kelantan, projek pengurangan Air Tidak Berhasil (NRW) di Negeri Sembilan, Loji Rawatan Air Kampung Barisan, Paip Agihan Air Seremban Barat, Loji Rawatan Air Sungai Muda di Pulau Pinang, Loji Rawatan Air Sungai Karangan di Kedah serta Skim Bekalan Air Sultan Iskandar di Johor.

 

Menurut PAAB, projek-projek tersebut melibatkan pembinaan loji rawatan air baharu, kolam imbangan, pemasangan saluran paip bekalan air baharu dan projek pengurangan NRW serta infrastruktur berkaitan bagi meningkatkan akses kepada bekalan air yang selamat dan boleh dipercayai.

 

Katanya, semua projek yang dibiayai di bawah SIFF akan melalui proses tadbir urus yang ketat bagi memastikan ia mematuhi piawaian kewangan mampan antarabangsa serta memberikan manfaat alam sekitar yang boleh diukur. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved