CEO, pembantu peribadi letak jawatan, bukan 5 eksekutif kanan - Kensington Green

01/10/2025 - 12:09
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 1 Okt – Kensington Green Specialist Centre Sdn Bhd menafikan dakwaan kononnya berlaku peletakan jawatan beramai-ramai dalam kalangan barisan pengurusan kanan syarikat itu.
Dalam satu kenyataan, syarikat itu menjelaskan hanya Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pembantu peribadi (PA) beliau yang meletakkan jawatan dengan notis 24 jam, semalam.
“Kami ingin menegaskan peletakan jawatan tersebut merupakan pelanggaran terhadap tempoh notis kontrak yang ditetapkan.
“Justeru, syarikat sedang menimbangkan tindakan undang-undang sewajarnya,” katanya.
Kensington turut memberi jaminan pasukan pengurusan kanan masih kekal manakala operasi hospital berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan.
“Fokus utama kami adalah terus memberikan penjagaan pesakit yang berkualiti tinggi serta memastikan perkhidmatan hospital diteruskan dengan lancar,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, terdapat laporan menyatakan lima eksekutif termasuk CEO, Ketua Pegawai Operasi, serta pengarah kewangan dan operasi dikatakan telah meletakkan jawatan secara serentak.
Bagaimanapun, Kensington menegaskan laporan itu tidak tepat dan hanya melibatkan dua individu sahaja. - DagangNews.com
standard
