CGSI: Malaysia beralih daripada akses ubat kepada jaminan bekalan ubat jangka panjang

LocalHealth & Fitness
16 Oct 2026 • 5:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

CGSI: Malaysia beralih daripada akses ubat kepada jaminan bekalan ubat jangka panjang Image from: CGSI: Malaysia beralih daripada akses ubat kepada jaminan bekalan ubat jangka panjang sarah16/10/2026 - 17:20 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 16 Okt - Malaysia kini perlu melangkah lebih jauh daripada sekadar memastikan rakyat mendapat akses kepada ubat-ubatan mampu milik, dengan memberi keutamaan kepada jaminan bekalan ubat jangka panjang bagi menghadapi peningkatan permintaan kesihatan, populasi menua dan kebergantungan terhadap bahan farmaseutikal import.

 

CGS International (CGSI) berkata, landskap industri farmaseutikal negara sedang beralih daripada usaha memperluas akses ubat-ubatan kepada memperkukuh keselamatan bekalan, termasuk melalui pembangunan kapasiti pengeluaran tempatan, rantaian bekalan berdaya tahan dan simpanan stok ubat strategik.

 

Menurut firma penyelidikan itu, perubahan keutamaan berkenaan semakin penting apabila pertumbuhan peruntukan kesihatan kerajaan tidak seiring dengan peningkatan keseluruhan belanjawan, sekali gus menuntut penggunaan sumber yang lebih cekap tanpa menjejaskan kemampuan rakyat mendapatkan rawatan.

 

“Dengan populasi Malaysia yang semakin menua, peningkatan penggunaan perkhidmatan kesihatan dan kebergantungan berterusan terhadap input farmaseutikal import, rantaian bekalan yang berdaya tahan, stok ubat strategik dan keupayaan pengeluaran domestik semakin penting,” menurut firma itu dalam nota penyelidikannya.

 

CGSI berkata, kerajaan telah memperkenalkan beberapa inisiatif bagi memperkukuh keselamatan bekalan ubat, termasuk myMedSecure, sistem amaran awal enam bulan oleh Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagi mengesan potensi kekurangan bekalan serta Pelan Tindakan Kebangsaan Malaysia bagi Keselamatan Kesihatan (MyNAPHS). Usaha itu turut disokong peruntukan ubat-ubatan sebanyak RM6.5 bilion bagi 2026.

 

ubt

 

Pengeluaran tempatan dan ubat generik jadi tumpuan

Bagaimanapun, Malaysia masih bergantung kepada import bahan farmaseutikal aktif (API), manakala Kementerian Kesihatan dilaporkan belum mempunyai rancangan segera untuk membangunkan pengeluaran API secara tempatan. CGSI berpandangan pembangunan terpilih industri berkenaan berpotensi mengurangkan risiko gangguan bekalan dalam tempoh 15 hingga 20 tahun, terutama ketika ketegangan geopolitik menjejaskan rantaian bekalan antarabangsa.

 

Pada masa sama, firma itu melihat penggunaan lebih meluas ubat generik dan biosimilar sebagai pendekatan praktikal untuk mengimbangi kos rawatan dengan akses pesakit. Berdasarkan data 2024 yang diketengahkan dalam laporan itu, perbelanjaan langsung isi rumah merangkumi 39% daripada keseluruhan perbelanjaan kesihatan negara, sekali gus menunjukkan kepentingan mengekalkan harga ubat yang mampu dibayar.

 

CGSI turut menjangkakan industri farmaseutikal berkembang melangkaui rawatan penyakit kepada pencegahan, pengesanan awal, penggunaan kecerdasan buatan (AI), kesihatan digital dan pemantauan pesakit berasaskan data. Bagaimanapun, penggunaan teknologi dan rawatan baharu secara lebih meluas masih bergantung kepada kemampuan kos, bukti keberkesanan klinikal serta infrastruktur kesihatan.

 

Dari sudut industri, firma itu berpandangan penekanan terhadap pengeluaran domestik memberi sokongan kepada pengembangan kemudahan K2 dan K5 milik Duopharma Biotech Bhd yang dijangka mula beroperasi masing-masing pada tahun kewangan 2029 dan 2030, sekali gus meningkatkan kapasiti bekalan farmaseutikal negara.

 

CGSI mengekalkan pandangan positif terhadap sektor farmaseutikal dan penarafan 'Overweight' bagi sektor penjagaan kesihatan, dengan Duopharma kekal sebagai pilihan utamanya berdasarkan kedudukan dalam pengeluaran ubat generik tempatan. Firma itu turut mengekalkan saranan 'Add' terhadap saham Duopharma dengan harga sasaran RM1.79 berbanding harga penutup RM1.10 pada 15 Oktober 2026.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved