sarah13/10/2026 - 12:59 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 13 Okt - Kerajaan kini menjangkakan dividen daripada syarikat minyak dan gas negara, Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS), meningkat kepada RM32 bilion pada 2027 berbanding anggaran RM27 bilion pada 2026, menurut BMI, sebuah syarikat di bawah Fitch Solutions.
Dalam nota penyelidikannya, BMI mengekalkan unjuran defisit fiskal Malaysia menyusut daripada 3.6% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2026 kepada 3.4% pada 2027.
Firma penyelidikan itu menjangkakan kerajaan mencapai sasaran hasil RM380.8 bilion pada 2027, meningkat 4.7% berbanding sasaran 2026 yang disemak naik kepada RM363.3 bilion.
BMI berkata, pertumbuhan ekonomi yang menggalakkan dijangka menyokong kutipan hasil kerajaan, termasuk cukai jualan dan perkhidmatan (SST), yang meningkat daripada kira-kira 7.5% daripada jumlah hasil pada 2009 kepada sekitar 18% pada separuh pertama 2026.
“Kedudukan Malaysia sebagai pengeksport bersih tenaga membolehkan negara mendapat manfaat daripada persekitaran harga minyak yang lebih tinggi,” menurut BMI.
Peningkatan dividen PETRONAS dijangka menyumbang kepada kenaikan hasil berkaitan petroleum daripada kira-kira 2.5% daripada KDNK pada 2026 kepada 2.6% pada 2027. Bagaimanapun, trend pengurangan kebergantungan Malaysia terhadap hasil petroleum dijangka berterusan.

Walaupun kerajaan menjangkakan perbelanjaan subsidi dan bantuan sosial menurun kepada RM72.7 bilion pada 2027, BMI melihat risiko perbelanjaan lebih tinggi sekiranya konflik Amerika Syarikat-Iran berlarutan melebihi jangkaan semasa.
“Subsidi dan bantuan sosial kekal tinggi mengikut piawaian sejarah, merangkumi 19.3% daripada belanjawan mengurus dan menjadi komponen perbelanjaan kedua terbesar selepas emolumen,” menurut firma penyelidikan itu.
BMI menjangkakan perbelanjaan mengurus, yang merangkumi 82% daripada keseluruhan perbelanjaan kerajaan, kekal tinggi. Antara langkah Belanjawan 2027 ialah kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan serta bantuan tunai RM16 bilion kepada isi rumah berpendapatan rendah.
Menurut BMI, penekanan terhadap bantuan isi rumah semakin penting dari sudut politik menjelang pilihan raya umum akan datang yang perlu diadakan selewat-lewatnya pada Februari 2028, terutama selepas prestasi kurang memberangsangkan gabungan kerajaan dalam pilihan raya negeri Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini.
Peningkatan kos tenaga turut mendorong kerajaan menaikkan peruntukan subsidi dan bantuan sosial kepada RM74.5 bilion, bersamaan 3.2% daripada KDNK, berbanding peruntukan asal RM49 bilion atau 2.1% daripada KDNK.
Sementara itu, perbelanjaan pembangunan dijangka turun untuk tahun ketiga berturut-turut kepada RM83 bilion pada 2027. Walaupun jumlah itu melebihi paras minimum 3% daripada KDNK di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal, ia masih rendah berbanding purata tahunan RM86 bilion yang diperlukan bagi memenuhi komitmen pembangunan kerajaan sebanyak RM430 bilion sehingga 2030.
BMI berpandangan, peruntukan pembangunan yang lebih rendah berpotensi menjejaskan usaha meningkatkan produktiviti dan inovasi negara dalam jangka panjang. - DagangNews.com






