ChatGPT Search Diperkenalkan – Membolehkan Pengguna Melakukan Carian Web, Alternatif Untuk Google

TechnologyDigital
1 Nov 2024 • 12:52 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

OpenAI hari ini mengumumkan ChatGPT Search, membolehkan para pengguna melakukan carian web terus menggunakan ChatGPT. Untuk tujuan berkenaan, sebuah butang khusus disediakan pada kotak ChatGPT, dimana pengguna boleh memilih butang “Search”, dan seterusnya melakukan carian berkaitan. ChatGPT Search ini dilihat sebagai evolusi daripada SearchGPT – yang mana OpenAI melabelkannya sebagai prototaip awal, dan pelbagai pembelajaran daripadanya diintegrasikan pada ChatGPT Search.

image is not available

Melalui percubaan kami, ia memperlihatkan hasil carian untuk sesuatu pertanyaan dengan pantas, dan menyusunnya dengan baik mengikut konteks. Walaubagaimanapun, masih terdapat beberapa carian kami memperlihatkan jawapan yang tidak tepat, dan perlu dicuba beberapa kali. Namun, ini mungkin boleh digunakan sebagai alternatif untuk Google – apatah lagi dengan kebelakangan ini hasil keputusannya semakin kurang relevan dan perlu dicuba beberapa kali dalam mendapatkan hasil yang diinginkan.

image is not available

Pihak OpenAI mengatakan dengan akses ChatGPT Search ini, ia boleh memberikan jawapan yang lebih baik kepada pengguna, selain memudahkan pengguna melihat sumber untuk sesuatu maklumat. Pelbagai soalan susulan turut boleh ditanya terus, dalam bentuk perbualan biasa, sekaligus memudahkan lagi proses carian dan pemahaman sesuatu perkara.

ChatGPT Search ini ditawarkan untuk semua pengguna berbayar bermula hari ini. Pengenalan untuk pengguna versi percuma akan menyusul dalam beberapa bulan lagi. OpenAI turut mengatakan akan terus menambah baik sokongan carian ini, serta menggunakan kelebihan penaakulan model kecerdasan buatan dalam memaparkan hasil carian yang lebih baik kepada pengguna.