
PETALING JAYA: Harimau Malaya akan meneruskan kempen Piala ASEAN 2026 dengan pemain sedia ada dalam pasukan selepas kehilangan dua tonggak utama, Endrick Dos Santos dan Jimmy Raymond yang berdepan kecederaan.
Pengendali sementara Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berkata, barisan kejurulatihan memilih untuk tidak memanggil pemain gantian kerana pemain lain kini sedang mengharungi kempen pramusim bersama kelab masing-masing
“Barisan kejurulatihan ada berbincang tentang pemain gantian, namun sukar untuk kita memanggil pemain lain bagi menggantikan mereka (Endrick dan Jimmy) kerana kelab pun sedang menjalani latihan pramusim.
“Tetapi kita harapkan pemain yang ada dalam pasukan ketika ini terus kekal fokus dan memastikan tahap kecergasan yang terbaik untuk menghadapi Filipina nanti,” katanya.
Mengulas lanjut, Cheng Hoe mengakui ketiadaan Endrick dan Jimmy sememangnya mencetuskan kebimbangan kerana kedua-dua mereka adalah pemain utama dan memberi impak besar kepada pasukan sebelum ini.
“Sekarang satu situasi yang kita perlu menang supaya layak ke separuh akhir, sudah pasti kita tidak boleh pandang rendah kekuatan Filipina,” kata bekas pengendali Selangor dan Kedah itu.
Sebagai rekod, Malaysia ketika ini berkongsi enam mata bersama Myanmar, namun Myanmar berada di tangga kedua kerana mempunyai kelebihan jaringan.
Malaysia perlu meraih kemenangan ke atas Filipina, begitu juga dengan Myanmar yang akan berdepan Thailand di Stadium Rajamangala untuk merebut satu lagi slot ke separuh akhir.
Thailand yang juga juara tujuh kali ketika ini unggul di persada Kumpulan B apabila belum lagi tewas untuk mengutip sembilan mata selepas tiga perlawanan. – UTUSAN
The post Cheng Hoe kerah kudrat sedia ada appeared first on Utusan Malaysia.






