Cheng Hoe mahu ulang sejarah 2014

FootballSports
19 Aug 2026 • 8:55 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Cheng Hoe mahu ulang sejarah 2014

PETALING JAYA: Jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menjadikan kejayaan skuad kebangsaan kendalian Datuk Dollah Salleh pada 2014 sebagai sumber inspirasi menjelang aksi separuh akhir kedua Piala ASEAN 2026 menentang Vietnam, malam ini.

Malaysia akan turun ke Stadium My Dinh, Hanoi bagi aksi timbal balik dengan misi sukar selepas tewas 0-2 pada perlawanan pertama, namun Cheng Hoe percaya sejarah lepas mampu menjadi pembakar semangat untuk mencipta kebangkitan luar biasa.

Sebagai rekod, pada separuh akhir Piala ASEAN 2014, Malaysia pernah bangkit daripada ketinggalan 1-2 kepada Vietnam sebelum mencipta kemenangan 4-2 pada aksi timbal balik di Hanoi untuk mara ke final.

 “Keputusan pada edisi  2014 di bawah kendalian Dollah Salleh adalah sesuatu yang hebat. Mereka berjaya mengubah situasi selepas tewas 1-2 pada aksi pertama dan kemudian menang 4-2 di sini.

“Keputusan itu memberi kita kepercayaan dan pada masa sama, selepas 12 tahun, ia membuatkan pemain serta jurulatih terus berubah. Kami mahu mendapatkan motivasi seperti itu.

“Cuma, kita sedar setiap kali menentang Vietnam, perlawanan sentiasa menjadi sukar tetapi saya tetap bangga dengan pemain mampu memberikan cabaran sehingga Vietnam terpaksa lebih banyak bertahan berbanding menyerang pada aksi sebelum ini,” katanya.

Lebih menarik, Cheng Hoe turut mengakui rekod Vietnam yang tidak tewas dalam 23 aksi antarabangsa menjadi cabaran besar buat Harimau Malaya untuk mencipta kejutan.

“Kami tahu rekod Malaysia dan Vietnam tidak begitu baik. Tetapi dalam bola sepak, anda perlu turun ke padang dengan kepercayaan bahawa anda mampu mengubah keputusan.

“Kami tetap menghormati Vietnam, terutama dengan rekod mereka di bawah kendalian Kim Sang Sik yang tidak tewas dalam 23 perlawanan. Semua statistik dan rekod itu sepatutnya menjadi motivasi, bukannya alasan untuk kami berasa rendah diri,” katanya.

Menurut Cheng Hoe, pemainnya kini lebih memahami keadaan yang perlu dihadapi selepas kekalahan pada aksi pertama dan percaya pengalaman itu boleh membantu mereka tampil lebih matang di Hanoi.

Harimau Malaya kini mempunyai 90 minit untuk mengulangi semula magis Hanoi 2014, kali ini dengan misi lebih besar untuk memadam defisit dua gol dan memastikan tiket ke pentas final Piala ASEAN berada dalam genggaman.-UTUSAN

The post Cheng Hoe mahu ulang sejarah 2014 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved