johardy06/10/2026 - 19:01 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Okt - Chin Hin Group Property Berhad (CHGP) menjangkakan kerugian sebelum cukai sebanyak RM7.63 juta daripada cadangan penjualan empat anak syarikat bernilai RM62 juta, menurut maklum balasnya terhadap pertanyaan Bursa Malaysia mengenai transaksi itu.
Sebaliknya, cadangan pelupusan terdahulu bernilai RM74 juta yang diumumkan pada 14 Ogos 2025 dijangka menghasilkan keuntungan sebelum cukai kira-kira RM2.4 juta. Bagaimanapun, CHGP menjelaskan kedua-dua cadangan dirunding berdasarkan terma komersial dan struktur transaksi yang berbeza.
Di bawah aturan semasa, pinjaman bank, baki antara syarikat dan pinjaman pemegang saham perlu diselesaikan, manakala tunai serta kesetaraan tunai perlu dikeluarkan sebelum transaksi selesai. Mekanisme tersebut tidak termasuk dalam cadangan terdahulu yang dirunding berasaskan keadaan dan kedudukan sedia ada.
Kerugian pelupusan dikira berdasarkan perbezaan antara nilai jualan dengan aset bersih RM69.63 juta setakat 31 Ogos 2026. Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Selasa, CHGP memberikan butiran tambahan susulan pertanyaan bursa bertarikh 5 Oktober mengenai cadangan yang diumumkan pada 30 September.
Penjualan itu melibatkan keseluruhan kepentingan ekuiti CHGP dalam Boon Koon Vehicles Industries Sdn Bhd, BKCV Sdn Bhd, Boon Koon Fleet Management Sdn Bhd dan BK Fleet Management Sdn Bhd. Perjanjian jual beli saham tersebut tidak tertakluk kepada sebarang syarat terdahulu.
Harga transaksi ditentukan berdasarkan aset bersih belum diaudit selepas pelarasan sebanyak RM2 juta setakat 30 Jun 2026 serta nilai hartanah yang dipersetujui sebanyak RM60 juta.
Menurut CHGP, maklumat kewangan Jun lebih mencerminkan kedudukan perniagaan terbabit ketika rundingan bermula pada awal Ogos berbanding maklumat kewangan diaudit setakat 31 Disember 2025.
Penilaian hartanah dan kerugian operasi
Nilai hartanah itu disokong oleh penilaian bebas Henry Butcher Malaysia Sdn Bhd pada 15 September 2026 menggunakan pendekatan kos dan perbandingan.
Aset milik Boon Koon Vehicles Industries tersebut merangkumi lima bidang tanah pegangan bebas di Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang, berserta bangunan kilang, pejabat dan gudang, dengan nilai buku bersih RM43.31 juta setakat 31 Ogos 2026.
Boon Koon Vehicles Industries mencatatkan kerugian bersih kira-kira RM3.79 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 meskipun meraih hasil sekitar RM72.73 juta. Kerugian itu berpunca terutamanya daripada kerugian rosot nilai penghutang perdagangan sebanyak RM615,718 serta penurunan nilai inventori sebanyak RM3.07 juta.
BKCV pula merekodkan kerugian bersih kira-kira RM2.01 juta bagi lapan bulan berakhir 31 Ogos 2026, terutama akibat kos taksiran kastam berkaitan pengimportan kenderaan Cergas Van serta yuran profesional berkaitan yang berjumlah RM2.1 juta. Liabiliti bersihnya berjumlah kira-kira RM2.44 juta.
Perniagaan yang terlibat dalam pelupusan menjana hasil RM81.63 juta pada 2025 serta RM30.70 juta bagi lapan bulan berakhir 31 Ogos 2026, masing-masing mewakili sekitar 8% dan 6% daripada hasil kumpulan. Memandangkan sumbangan tersebut kurang daripada 10%, CHGP tidak menjangkakan kesan buruk yang ketara terhadap prestasi kewangannya pada masa hadapan.
Kemudahan perbankan tertunggak berjumlah RM4.845 juta setakat 30 September 2026 akan diselesaikan menggunakan tunai sedia ada atau tunai yang dijana daripada operasi syarikat terbabit sebelum transaksi selesai.
CHGP turut bercadang menggunakan RM6.2 juta daripada hasil jualan untuk membayar balik jumlah yang terhutang kepada Boon Koon Vehicles Industries.
CHGP tidak menjangkakan syarikat yang hendak dijual mengalami defisit tunai ketika transaksi selesai. Oleh itu, tiada pelarasan terhadap harga jualan dijangka timbul akibat defisit tersebut. - DagangNews.com






