amree09/10/2026 - 11:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 9 Okt — Nilai aset bersih (NAV) iCapital.biz Berhad melonjak 19.1% bagi suku pertama tahun kewangan 2027 (1QFY27), mengimbangi kemerosotan keuntungan bersih susulan pendapatan faedah yang lebih rendah dan peningkatan perbelanjaan operasi.
Berdasarkan makluman kepada Bursa Malaysia, NAV syarikat pelaburan itu meningkat berbanding RM518.56 juta pada 31 Ogos 2025 kepada RM617.58 juta pada 31 Ogos 2026, manakala NAV sesaham naik kira-kira 19.02% kepada RM4.38 daripada RM3.68 sebelumnya.
Dari perspektif suku ke suku (QoQ) pula, jumlah NAV turut meningkat kira-kira 1.93% daripada hanya RM605.85 juta pada 31 Mei 2026 kepada sebanyak RM617.58 juta pada 31 Ogos 2026, manakala NAV sesaham berkembang 1.86% daripada RM4.30 kepada RM4.38.
"Bagaimanapun, keuntungan selepas cukai (PAT) bagi suku berkenaan didapati merosot kepada RM45,000 berbanding RM733,000 dicatatkan setahun sebelumnya, manakala keuntungan sebelum cukai (PBT) susut kepada RM139,000 daripada RM942,000," kata iCapital.biz.
Menurut kenyataan pengurusan kumpulan tersebut, punca utama kemerosotan PBT berkenaan terutama disebabkan oleh faktor pendapatan faedah yang lebih rendah serta dipengrauhi isu peningkatan perbelanjaan operasi sepanjang tempoh tiga bulan itu.
Hasil kumpulan berkenaan bagi 1QFY27 berjumlah RM3.10 juta berbanding RM3.21 juta pada 1QFY26, apabila peningkatan pendapatan dividen kepada RM2.48 juta tidak dapat mengimbangi sepenuhnya penyusutan pendapatan faedah kepada RM618,000.

Dalam tempoh sama ujar iCapital.biz, perbelanjaan operasi pula meningkat kepada sebanyak RM2.96 juta berbanding hanya RM2.27 juta setahun sebelumnya, termasuk perbelanjaan bagi pengurusan dana dan khidmat nasihat pelaburan.
"Portfolio pelaburan bernilai RM529.26 juta iaitu 85.68% daripada jumlah NAV, dengan pegangan utama merangkumi Kelington Group Berhad sebanyak 24.15%, diikuti SAM Engineering & Equipment (M) Berhad (13.32%) dan United Plantations Berhad (8.07%)," katanya.
Dari sudut pasaran, harga sahamnya iaitu RM2.51 sesaham adalah kira-kira 42.7% lebih rendah daripada NAV sesaham RM4.38. Perbezaan itu menunjukkan saham berkenaan didagangkan pada diskaun kepada NAV, berdasarkan angka yang diberikan.
Bagi prospek pelaburan, pengurus dana iCapital.biz menyatakan keyakinan terhadap potensi ekonomi Malaysia, khususnya peluang pertumbuhan daripada ekosistem semikonduktor yang disokong oleh kerajaan menerusi Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS).
Sementara itu, lembaga pengarah kumpulan berkenaan tidak mengisytiharkan sebarang pengagihan dividen bagi tempoh suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2026. - DagangNews.com





