China Lancarkan Kad Grafik Gaming Pertama – Lisuan LX 7G100

TechnologyGaming
25 May 2026 • 9:18 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

China Lancarkan Kad Grafik Gaming Pertama – Lisuan LX 7G100

Semasa saya mula berjinak-jinak dengan dunia gaming di PC, kad grafik pertama yang dibeli ialah Sirge S3. Ia bukan yang terbaik tetapi paling murah di pasaran jika dibandingkan dengan kad keluaran Voodoo, Matrox, ATI dan NVIDIA. Semua pengeluar kad grafik gaming secara tradisinya adalah dari Amerika Syarikat. Hujung minggu lalu kad grafik Lisuan LX 7G100 telah dilancarkan sebagai kad grafik gaming pertama keluaran China.

Image from: China Lancarkan Kad Grafik Gaming Pertama – Lisuan LX 7G100

Sebagai produk generasi pertama, prestasi Lisuan LX 7G100 adalah hanya setara dengan NVIDIA RTX 3060 yang dilancarkan pada tahun 2021. Ia hadir dengan 12GB VRAM GDDR6, sokongan DX12, Vulkan 1.3, OpenGL 4.6, dan OpenCL 3.0. Resolusi yang disokong pula ialah sehingga 8K 60Hz dengan HDR dan FreeSync. Kad ini adalah yang pertama menerima pengesahan perisian pemandu Microsoft WHQL selain kad keluaran AMD, Intel dan NVIDIA.

Sebuah Lisuan LX 7G100 dijual pada harga bermula RMB 2969 (~RM 1726) sebuah yang lebih mahal berbanding RTX 4060, Intel Arc B580 dan RX 6600 XT yang jauh lebih berkuasa. Sungguhpun begitu Lisuan mengatakan 30,000 unit terawal sudahpun habis dijual.