
KUALA LUMPUR – Beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan-M.Thinaah berdepan kejutan pada Kejohanan Badminton China Masters selepas tersingkir di pusingan kedua.
Pada perlawanan yang berlangsung di Shenzhen Arena hari ini, bekas naib juara dunia itu tewas 16-21, 21-17, 19-21 kepada pasangan Thailand, Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard.
Walaupun turun sebagai pilihan kelima kejohanan, Pearly-Thinaah tidak dapat mengelak daripada melakukan kesilapan mudah sehingga membolehkan pemain lawan mengambil kesempatan.
“Saya rasa banyak lagi perkara yang kami perlu usahakan seperti corak permainan di gelanggang dan kesilapan mudah. Kami akan balik, fikirkan dengan serius dan bekerja keras.
“Harap-harap dalam tempoh dua minggu sebelum ke Sukan Asia, kami boleh perbaiki kelemahan dan melakukan perbezaan,” kata Pearly kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Turut tersingkir di pusingan kedua adalah satu lagi beregu wanita negara, Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan yang tewas 13-21, 16-21 kepada pasangan tuan rumah, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian.
Perseorangan wanita, K. Letshanaa turut berdepan nasib sama apabila tewas mudah 10-21, 8-21 kepada pilihan kedua kejohanan dari China, Wang Zhi Yi dalam tempoh 31 minit.
Sementara itu, gandingan beregu lelaki, Aaron Tai-Soh Wooi Yik dan beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai menghadirkan kegembiraan buat Malaysia apabila mara ke suku akhir.
Aaron-Wooi Yik mengetepikan cabaran beregu tuan rumah, Chen Bo Yang-Liu Yi menerusi kemenangan 21-13, 21-18 manakala Soon Huat-Shevon menewaskan beregu Jepun, Akira Koga-Natsu Saito 21-14, 19-21, 21-10. – KOSMO! ONLINE
The post China Masters: Pearly-Thinaah kandas pusingan kedua appeared first on Kosmo Digital.





