Wooi Yik-Aaron Tai tumbangkan gandingan No. 10 dunia

3 Sep 2026 • 6:51 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Wooi Yik-Aaron Tai tumbangkan gandingan No. 10 dunia

 

PETALING JAYA: Beregu pecah ganding negara, Soh Wooi Yik-Aaron Tai mencuri perhatian apabila menumbangkan pasangan No. 10 dunia, Chen Bo Yang-Liu Yi pada pusingan kedua Kejohanan Badminton China Masters di Guangdong, China, hari ini.

Kali pertama dipasangkan, Wooi Yik-Aaron tampil meyakinkan untuk menundukkan pasangan tuan rumah itu 21-13, 21-18 dalam masa 40 minit.

Kemenangan itu bakal menemukan mereka dengan satu lagi beregu China sama ada Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi atau He Ji Ting-Ren Xiang Yu pada suku akhir, esok.

Aaron berkata, dia cukup gembira dengan kejayaan itu lebih-lebih lagi Bo Yang-Liu Yi mendapat sokongan padu daripada penonton yang hadir ke stadium.

“Saya rasa sangat gembira dengan kemenangan ini, sebab ini kali pertama saya bergandingan bersama abang saya (Wooi Yik). Jadi saya tidak fikir banyak, cuma buat apa yang saya kena buat,” katanya sewaktu ditemu bual oleh wakil Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas perlawanan berakhir.

Anak jati Melaka berusia 19 tahun itu memberitahu, dia mendapat banyak bimbingan daripada Wooi Yik sepanjang perlawanan, khususnya mengenai komunikasi dan cara mengawal tekanan ketika berada di gelanggang.

Sementara itu, Wooi Yik pula berkata, walaupun baru sahaja digandingkan, namun, persefahaman mereka dapat dibina dengan baik.

Menurut pemain berusia 29 tahun itu, variasi permainan yang dipamerkan menjadi antara kunci utama kejayaan mereka untuk menewaskan pasangan China tersebut.

“Saya rasa lawan mungkin berdepan masalah untuk memahami corak permainan kami kerana mereka tiada data untuk kaji permainan kami.

“Kami cuba pelbagaikan gaya permainan, sama ada di belakang atau di depan gelanggang. Kami ada banyak cara untuk dapatkan mata, jadi, itu yang membuatkan lawan keliru,” katanya.

Sementara itu, dalam aksi perseorangan wanita, wakil negara, K. Letshanaa terkandas di peringkat 16 terbaik selepas tewas kepada bintang No. 2 dunia, Wang Zhi Yi dari China 10-21, 8-21 dalam masa 31 minit. – UTUSAN

The post Wooi Yik-Aaron Tai tumbangkan gandingan No. 10 dunia appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved