
Kota Kinabalu: Cement Industries (Sabah) Sdn Bhd (CIS) bakal melaksanakan pelaburan RM120 juta untuk membangunkan barisan pengeluaran kedua di Loji Teluk Sepanggar, sebagai usaha meningkatkan kapasiti pengeluaran serta memperkukuh kestabilan bekalan simen di seluruh Sabah.
Pengurus Besar CIS Sumardi Mohd Yusuf berkata kemudahan baharu itu akan menambah kapasiti pengeluaran sebanyak 550,000 tan metrik setahun.
“Projek berskala besar ini dijangka siap dan beroperasi sepenuhnya menjelang akhir 2028 bagi menampung keperluan industri binaan tempatan yang semakin pesat,” katanya dalam kenyataan di sini, Khamis.
Beliau berkata perancangan projek berkenaan telah mendapat kelulusan rasmi Lembaga Pengarah CIS untuk dilaksanakan segera.
“Bagi memastikan projek berjalan lancar, sebuah firma perunding kejuruteraan berwibawa telah dilantik untuk menyediakan khidmat nasihat serta kepakaran teknikal yang diperlukan,” katanya.
Sumardi berkata kewujudan barisan pengeluaran kedua amat penting bagi membolehkan CIS memenuhi peningkatan permintaan simen di pasaran.
Katanya, langkah itu juga dapat memastikan rantaian pengeluaran dan pengedaran simen beg 50 kilogram (kg) tidak terputus sekiranya salah satu sistem pengeluaran mengalami gangguan teknikal.
“Pembangunan terbaharu ini sekali gus akan berfungsi sebagai sistem sokongan (backup line) yang amat diperlukan dalam struktur operasi loji berkenaan.
“Kemudahan ini juga bakal menyediakan ruang penyimpanan bahan mentah tambahan, sekali gus membolehkan kerja penyelenggaraan loji dilakukan dengan lebih cekap dan berjadual,” katanya.
Sementara itu, Sumardi berkata bekalan simen beg 50kg di kawasan Pantai Barat Sabah ketika ini masih mengalami sedikit gangguan.
“Masalah tersebut berpunca daripada kelewatan penghantaran klinker, iaitu komponen dan bahan mentah utama yang digunakan dalam proses pengeluaran simen syarikat.
“Isu rantaian bekalan itu dikesan susulan insiden sebuah kapal pengangkut klinker terkandas ketika melalui laluan laut terbuka berhampiran Pelabuhan Tanjung, Kalimantan Selatan.
“Kapal yang membawa muatan kira-kira 20,000 tan metrik klinker itu gagal meneruskan pelayaran mengikut jadual asal, sekali gus menjejaskan masa ketibaan bahan mentah berkenaan di Sabah,” katanya.
Sumardi berkata penghantaran gantian klinker dijadualkan tiba pada minggu kedua Oktober bagi memulihkan proses pengeluaran dan menstabilkan bekalan simen secara berperingkat di pasaran tempatan.






