amree28/09/2026 - 15:45 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 Sept — CI Holdings Berhad merancang meningkatkan kapasiti pembungkusan minyak boleh dimakan kepada 3,000 muatan kontena penuh (FCL) sebulan menjelang tahun kewangan 2027 ketika kumpulan berdepan tekanan pasaran eksport dan ketidaktentuan geopolitik global.
Sasaran itu menjadi antara strategi utama kumpulan untuk memperkukuhkan kapasiti operasi dan menyokong pertumbuhan perniagaan produk minyak boleh makan, selain memperluas penggunaan teknologi berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan tahap kecekapan kendalian.
Perancangan tersebut hadir ketika kumpulan mengharungi persekitaran perdagangan yang mencabar susulan ketegangan geopolitik termasuk konflik Timur Tengah dan gangguan laluan perkapalan global, yang berpotensi memberi tekanan kepada kos serta kelancaran rantaian bekalan.
"Pada masa sama, pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), selain penurunan harga minyak sawit mentah dan cabaran industri seperti cuaca El Niño serta pokok kelapa sawit tua, turut memberi tekanan kepada prestasi CI Holdings," maklumnya kepada Bursa Malaysia.
Menerusi Laporan Tahunan 2026 kepada bursa, kumpulan berkenaan mencatatkan hasil disatukan yang berjumlah RM4.31 bilion bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 (FY26), susut kira-kira 9.9% berbanding sebanyak RM4.78 bilion dicatatkan pada tahun kewangan sebelumnya.
Selain itu, keuntungan selepas cukai (PAT) kumpulan berkenaan pula turut merosot kira-kira 42.9% kepada hanya RM63.75 juta daripada sebanyak RM111.60 juta pada FY25, sejajar dengan penyusutan margin kasar keseluruhan syarikat.

Bagaimanapun, langkah disiplin kos berjaya membantu CI Holdings dalam mengurangkan perbelanjaan kendalian sebanyak 14.2% kepada RM150.40 juta, manakala nisbah hutang kepada ekuiti turut bertambah baik kepada 64.82% daripada 113.59%.
"Prestasi FY26 turut dipengaruhi faktor kelembapan pada separuh kedua tahun kewangan selepas kumpulan merekodkan pertumbuhan hasil sebanyak 45% sepanjang tempoh suku pertama, disokong peningkatan volum penghantaran," jelas kumpulan berkenaan.
Jelasnya lagi, harga minyak olein sawit terproses (RBD) secara purata namun kemudian didapati menurun kepada RM4,502 setiap tan metrik, sekali gus memberi tekanan terhadap prestasi semasa perkembangan segmen minyak boleh makan.
Segmen minyak boleh dimakan menerusi Continental Resources Sdn Bhd (CRSB) dan Palmtop Sdn Bhd kekal sebagai pemacu utama CI Holdings, dengan produk kumpulan dieksport ke lebih 100 negara merentasi pasaran Asia, Afrika dan rantau Timur Tengah.
Memasuki FY27, kumpulan memberi tumpuan kepada peningkatan kapasiti pembungkusan, penerapan AI, kepelbagaian produk isi rumah, penerokaan pasaran eksport baharu serta pengintegrasian prinsip ESG bagi menyokong pertumbuhan dan nilai jangka panjang. - DagangNews.com




