Kapasiti pengeluaran Powerwell masih belum cukup tampung pertumbuhan pesat projek - Malacca Securities

Business & Finance
14 Sep 2026 • 9:20 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kapasiti pengeluaran Powerwell masih belum cukup tampung pertumbuhan pesat projek - Malacca Securities Image from: Kapasiti pengeluaran Powerwell masih belum cukup tampung pertumbuhan pesat projek - Malacca Securities amree14/09/2026 - 09:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 14 SeptPowerwell Holdings Berhad berdepan cabaran meningkatkan kapasiti pengeluaran bagi memenuhi pertumbuhan projek, terutama pusat data (DC), menurut Malacca Securities.

 

Katanya, tempahan yang semakin besar turut meningkatkan keperluan terhadap keupayaan pelaksanaan syarikat itu namun isu tersebut sedang cuba ditangani menerusi perluasan kapasiti pembuatan.

 

Firma penyelidikan berkenaan menambah, langkah itu dijangka dapat mengurangkan kebergantungan syarikat terhadap pengeluaran secara penyumberan luar dan menyokong pemulihan margin keuntungan.

 

"Setakat ini, bagi suku pertama tahun kewangan 2027, Powerwell berupaya mencatat hasil suku tahunan tertinggi sebanyak RM88.3 juta, naik 145.6% tahun ke tahun (YoY)," jelas nota Malacca Securities. 

 

Prestasi itu didorong pengebilan lebih tinggi menerusi projek DC dan sumbangan Tenaga Kenari, namun margin keuntungan kasar (GP) ujarnya, susut kepada 24.1% daripada 27.3% disebabkan beberapa faktor.

 

Antaranya kos mobilisasi awal, peningkatan penggunaan pengeluaran luar dan pertambahan tenaga kerja, dengan kumpulan masih mempunyai buku tempahan bernilai RM268.9 juta setakat 30 Jun 2026.

 

Tambah Malacca Securities, sebahagian besarnya dijangka diiktiraf Powerwell dalam tempoh sembilan bulan akan datang, memberikan keterlihatan terhadap pertumbuhan hasil dalam suku-suku berikutnya.

 

Powerwell_DagangNews2026

 

"Bagi perkukuh keupayaan pelaksanaan, ia menambah kemudahan baharu di Shah Alam, Selangor dengan pelaburan sekitar RM6 juta yang dijangka menanggung kos overhed tetap tahunan RM4.8 juta," katanya.

 

Pada masa sama, perluasan ruang pembuatan di Indonesia akan meningkatkan jumlah keluasan binaan dan firma itu menjangkakan kapasiti pengeluaran tahunan meningkat 79% kepada 18,724 unit pada FY28.

 

Langkah pertambahan kapasiti itu jelas Malacca Securities, sekali gus akan memberi ruang kepada Powerwell mengendalikan projek lebih besar tanpa terlalu bergantung kepada pengeluaran pihak luar.

 

Ia menjangkakan peningkatan penggunaan kapasiti dan lebih banyak proses fabrikasi serta pemasangan dilakukan secara dalaman dapat meningkatkan kecekapan kos dan leveraj operasi mulai FY28.

 

"Bagaimanapun, usaha perluasan tersebut dijangka tidak memberi sumbangan besar kepada hasil FY27 berikutan proses peningkatan kapasiti yang hanya dapat dilakukan secara berperingkat," katanya.

 

Susulan prestasi kukuh 1QFY27 kukuh dan keyakinan tinggi terhadap pengiktirafan projek, Malacca Securities menaikkan unjuran hasil Powerwell bagi FY27 dan FY28 masing-masing 29.9% dan 32.8%.

 

Firma itu turut menaik taraf saranan kepada 'pegang' dengan harga sasaran (TP) baharu RM1.20 daripada 91 sen, berdasarkan gandaan harga kepada pendapatan (P/E) 17 kali yang tidak berubah.

 

Ia namun mengingatkan risiko utama termasuk pengisian semula kontrak yang perlahan, kelewatan penghantaran projek atau penerimaan pelanggan serta turun naik mata wang asing (forex). - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved