Cikgu Chandra hasrat peluk Islam, lafaz syahadah akan diumumkan

28 Aug 2026 • 4:03 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Cikgu Chandra hasrat peluk Islam, lafaz syahadah akan diumumkan

PETALING JAYA – Aktivis, S. Chandrasegaran atau lebih dikenali sebagai Cikgu Chandra, 47, menyatakan hasrat untuk memeluk agama Islam dan akan memaklumkan tarikh lafaz syahadah dalam masa terdekat.

Ketika dihubungi Kosmo!, beliau berkata, proses untuk bergelar saudara baharu masih belum berlangsung dan akan mengundang pihak media apabila tiba masanya.

“Saya akan jemput media masa itu (lafaz syahadah),” katanya hari ini.

Terdahulu, Cikgu Chandra menarik perhatian selepas memuat naik hantaran berkaitan dua kalimah syahadah di Facebooknya pagi tadi.

Beliau turut berkata sejak kecil membesar di Alor Setar, Kedah, kehidupannya banyak dikelilingi rakan-rakan beragama Islam dan tidak pernah berdepan isu perkauman dalam pergaulan.

Menurutnya, setiap kali musim perayaan, mereka saling berkunjung ke rumah masing-masing, selain beliau turut menikmati juadah seperti nasi kuning ketika menziarahi rakan-rakan.

Beliau mendakwa rakan-rakannya juga tidak pernah melihat dirinya berdasarkan kaum semata-mata.

Cikgu Chandra turut berkongsi bahawa ketika berlaku satu situasi kecemasan sebelum ini, individu pertama yang berada bersamanya merupakan seorang Melayu.

Katanya, pengalaman tersebut menyentuh hatinya dan menguatkan lagi niat untuk mendekati agama Islam.

“Jadi tersentuh hati saya dan berniat memeluk agama Islam. Cuma sekarang saya berjinak mengaji Al-Quran sebelum proses seterusnya,” katanya.

Mengulas lanjut, Cikgu Chandra berkata dirinya memilih untuk tidak menghebahkan secara terperinci perkembangan tersebut buat masa ini kerana mahu melindungi diri serta keluarganya.

Beliau juga tidak mahu sebarang kenyataannya dipetik di luar konteks sehingga menimbulkan salah faham atau memberi kesan kepada mereka.

“Saya menghormati persoalan yang dikemukakan oleh pihak media. Namun, saya memilih untuk menjawab Alhamdulillah pada ketika ini.

“Saya percaya setiap orang berhak membuat tafsiran terhadap sesuatu hantaran, tetapi saya tidak akan mengulas lebih lanjut mengenai perkara ini.

“Saya berharap pihak media dapat menghormati pendirian saya dan memberikan ruang kepada saya serta keluarga. Insya-Allah saya akan maklumkan bila tempoh bertenang saya selesai,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Cikgu Chandra hasrat peluk Islam, lafaz syahadah akan diumumkan appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved