“Saya dah beli al-Quran” – Cikgu Chandra dedah perjalanan 8 tahun dalami Islam

28 Aug 2026 • 2:47 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Aktivis masyarakat, S Chandrasegaran atau lebih dikenali sebagai Cikgu Chandra, dijangka memeluk Islam secara rasmi awal tahun depan selepas menunggu anak perempuannya genap 18 tahun.

Menurut laporan TV Pertiwi, Cikgu Chandra, 47, berkata, keputusan untuk mendalami dan memeluk agama Islam itu mendapat sokongan keluarganya, malah hasrat berkenaan sudah lama dipendam sebelum dikongsikan menerusi satu hantaran di Facebook.

“Sekarang saya masih dalam proses. Saya tidak cakap apa-apa. Saya buat kiriman sahaja perkara itu kerana saya sudah lama niat hal ini. Cuma hari ini tersentuh hati hendak buat posting.
“Bukan dalam masa terdekat. Mungkin dalam masa tiga atau empat bulan lagi sebab anak kedua saya sudah bincang bersama keluarga. Mereka sudah lama bersetuju dengan keputusan saya.
“Cuma anak kedua saya kena tunggu 18 tahun pada Januari ini. Ini ikut hati masing-masing betul tak? Jadi kalau dia 18 tahun pada 14 Januari, 15 Januari itu boleh secara rasmi,” katanya.

Image from: “Saya dah beli al-Quran” – Cikgu Chandra dedah perjalanan 8 tahun dalami Islam

Beliau berkata demikian ketika mengulas hantaran di laman Facebook miliknya pagi ini yang memaparkan lafaz dua kalimah syahadah dalam bahasa Melayu.

Cikgu Chandra berkata, persiapan untuk memeluk Islam sebenarnya sudah dilakukan sejak sekitar lapan tahun lalu, manakala minatnya untuk mengenali ajaran Islam bermula sejak zaman persekolahan.

“Saya sudah beli al-Quran dan sedang memahami sedikit demi sedikit. Saya cakap terus-terang malah semasa saya kecil di Alor Setar, saya pergi surau dan masjid lepak dengan kawan-kawan.
“Mungkin ini masanya. Masanya sudah tiba. Itu terpulang kepada keluarga saya. Tetapi yang pasti saya akan memeluk Islam secara rasmi. Saya tunggu hari jadi anak saya dulu.
“Saya tidak mahu memaksa mereka. Islam ini bukan paksaan betul tak? Itu terpulang. Tetapi isteri saya gembira. Terpulang pada mereka apa keputusan mereka,” ujarnya.

Image from: “Saya dah beli al-Quran” – Cikgu Chandra dedah perjalanan 8 tahun dalami Islam

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa proses mendalami Islam yang dilaluinya selama ini tidak dihebahkan kepada umum kerana mahu ia dilakukan secara peribadi sebelum dikongsikan pada waktu yang sesuai.

Malah, beliau turut menyimpan harapan agar penghijrahan itu kelak dapat dilakukan bersama isteri dan seorang lagi anak perempuannya yang kini berusia 15 tahun.

“Saya sedang dalami agama Islam tetapi saya tidak mahu dedahkan sekarang. Saya belum boleh keluarkan gambar. Sudah lama dekat tujuh atau lapan tahun lalu.
“Sebenarnya sejak kecil saya di Alor Setar pun saya sudah dalami Islam. Bukan saya buat keputusan tergesa-gesa. Saya belajar atas talian. Kitab Al-Quran pun saya ada.
“Terjemahan surah saya tengok, ayatnya satu persatu. Saya selalu rujuk dengan ustaz. Banyak juga ustaz yang saya jumpa,” katanya lagi.

Untuk makluman, nama Cikgu Chandra sering mendapat perhatian warganet kerana memperjuangkan isu-isu membabitkan pencerobohan tanah terutama rumah ibadat dan gangsterism.

Sumber: TV Pertiwi

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved