CIMB Group sasar pertumbuhan pendapatan lima hingga enam peratus

TechnologyBusiness & Finance
28 Aug 2026 • 6:21 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: CIMB Group sasar pertumbuhan pendapatan lima hingga enam peratus

KUALA LUMPUR: CIMB Group Holdings Bhd menyasarkan pertumbuhan pendapatan sekitar lima hingga enam peratus bagi tahun kewangan 2026.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group, Novan Amirudin berkata, terdapat beberapa bahagian perniagaan yang menunjukkan perkembangan positif, namun keadaan di beberapa kawasan lain mungkin sedikit mencabar.

“Secara keseluruhan, kami masih menjangkakan ia relatif stabil kerana terdapat beberapa poket yang menunjukkan peningkatan, manakala beberapa kawasan lain mungkin mengalami sedikit kelemahan,” katanya dalam pengumuman prestasi kewangan CIMB di sini hari ini.

Dalam pada itu, Novan melihat kecerdasan buatan (AI) sebagai teknologi yang berpotensi membawa manfaat besar kepada industri perbankan, walaupun kesannya terhadap keuntungan mungkin mengambil masa lebih panjang daripada jangkaan pasaran.

Katanya, CIMB sendiri sudah mula menggunakan AI dalam beberapa proses bagi meningkatkan kecekapan, mempercepatkan operasi dan memudahkan tugasan.

“Manfaat AI akan ada, tetapi tempoh untuk manfaat itu berkembang mungkin mengambil masa lebih lama daripada apa yang dijangkakan pasaran global dan pelabur institusi.

“Kami mengambil pandangan jangka panjang kerana kami bukan pelabur institusi yang melihat kepada tempoh beberapa minggu atau bulan,” katanya.

Novan berkata, penggunaan AI juga tidak semestinya bermakna pengurangan tenaga kerja, sebaliknya teknologi itu akan melengkapi keupayaan kakitangan.

Menurutnya, AI boleh mengendalikan urusan mudah yang mempunyai jumlah transaksi tinggi, sekali gus membolehkan kakitangan memberi tumpuan kepada tugasan lebih kompleks serta meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada pelanggan.

“AI dan tenaga kerja kita adalah saling melengkapi,” katanya.

Sementara itu, Novan berkata, CIMB akan menilai penggunaan modal daripada hasil pelupusan perniagaan Thai Auto, bagi menyokong peluang pertumbuhan yang mampu memberikan pulangan lebih tinggi kepada kumpulan.

Bagaimanapun, katanya, hasil daripada pelupusan itu perlu melalui beberapa proses terlebih dahulu, termasuk mendapatkan kelulusan Bank of Thailand (BOT) sebelum dana berkenaan boleh dipindahkan kembali kepada kumpulan.

“Pertama sekali, kami memerlukan kelulusan BOT untuk membawa wang itu kembali kepada kumpulan. Selepas ia dikembalikan, kami akan menilai penggunaan modal tersebut.

“Penggunaan modal itu mestilah disalurkan kepada perniagaan yang memberikan pulangan lebih tinggi dan bidang pertumbuhan yang dapat membantu kami mencapai sasaran,” katanya.-UTUSAN

The post CIMB Group sasar pertumbuhan pendapatan lima hingga enam peratus appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved