Cinta Dalam Sekam: Kenapa kita suka cinta tragik?

Movie
30 Aug 2026 • 4:30 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Cinta Dalam Sekam: Kenapa kita suka cinta tragik?

TIDAK hanya cinta yang membuat candu, pilu juga begitu. Banyak orang tidak berganjak dari segala yang menjadi punca sakit hati, walau berkali-kali mengeluh kerana mereka mencintai tragedi tanpa disedari. Semua ini dibuktikan Cinta Dalam Sekam (CDS), kerana tidak ada satu watak bahagia pun dalam kisah ini, semuanya mengheret tragedi, diwarisi merentas generasi, sesuai judulnya.

CDS membawakan kesedihan dalam spektrum yang pelbagai menerusi karakternya baik pilu, kehilangan, murung hingga putus harap. Banyak kisah cinta tragik memang lebih kuat membekas baik itu Uda dan Dara, Laila Majnun, Titanic atau Romeo dan Juliet. Tragedi, kesedihan, kehampaan kepada hal-hal yang tidak kesampaian adalah sebuah eudaimonic entertainment iaitu bagaimana semua ini membawa kepada perenungan yang lebih dalam kepada penonton.

Bagaimanapun, semua ini hanya akan benar-benar terjadi sekiranya penonton berasa dekat dan melekat dengan karakter yang ditampilkan.

Cinta Dalam Sekam seolah-olah mengurung setiap karakter tidak kiralah Imran, Laila, Syafiq, Zira, Sabiri, Marinah sampai ke Sarah.

CDS kemudian menyiksa mereka dengan tragis mungkin tanpa sedikit belas ihsan apa lagi kepada watak perempuan, dibina segelap mungkin. Sesekali daun pintu diselak membuat mereka percaya ada cahaya di hujung lorong. Namun semuanya sandiwara saja. Sengaja membuat penonton berkatarsis lebih lama.

Bagaimanapun, CDS berjaya membina tiga karakter utamanya iaitu Imran, Laila dan Syafiq dalam sebuah cinta tiga segi yang mempunyai kesan emosi kuat kepada penonton.

Formula cinta tiga segi kepada sebuah perjalanan konflik memang sudah purba cuma selalunya ia akan berjaya. Maaf, maksud saya, ia akan berjaya jika cara berceritanya disampaikan dengan baik. CDS banyak didominasi latar 1988, di situlah kisah cinta Imran, Laila dan Syafiq bermula.

Image from: Cinta Dalam Sekam: Kenapa kita suka cinta tragik?

Ada banyak yang terjadi kepada negara pada era itu akibat pertumbuhan ekonomi; melihat rekod Keluaran Dalam Negeri Kasar negara menjadi paling tinggi sejak merdeka. Berlakunya penghijrahan besar-besaran luar bandar ke bandar, demam rock kapak, tekanan belia di bandar juga krisis untuk mempertahankan budaya, identiti dengan pemodenan.

Bagaimanapun, sepanjang 12 episod saya sedaya upaya cuba untuk faham mengapa tahun 1988 dipilih menjadi latar kepada cerita ini. Pemilihan latar mestilah signifikan bukan setakat nampak estetik visual sahaja. Selalunya pengkarya akan melihat kepada perkara yang mahu disindir dalam era tersebut sama ada ekonomi, Dr. Mahathir, krisis budaya atau perilaku anak mudanya.

Namun menerusi CDS, semangat zaman itu gagal dicerap termasuklah kepada karakternya sebagai contoh Imran yang mahu menjadi pengarah filem. Namun tiada pula tanda-tanda dia sangat berminat membahaskan filem kesukaannya atau landskap sinema sedangkan Gila Gila Remaja begitu menggilanya ketika itu.

CDS pula dilihat tersiksa untuk membina jalan cerita yang solid untuk dua zaman berbeza. Era 2026 yang dibawakannya pula begitu membosankan, CDS macam sudah hilang idea mahu mengembangkan konflik Uwan dan anak-anaknya. Bukan itu sahaja, susunan waktu dan masa mula bercempera bagaimana seorang Sarah yang sepatutnya lahir dahulu boleh nampak 10 tahun muda berbanding anak Amanda dan Syafiq?

Image from: Cinta Dalam Sekam: Kenapa kita suka cinta tragik?

Bagaimanapun, CDS setidaknya memberikan saya sebuah penebusan pada episod akhir membuatkan saya terfikir rupanya ini bukanlah kisah tentang Imran dan Laila yang seribu kali mengulang dialog ‘saya tak akan tinggalkan awak’.

Tapi cerita ini dibina untuk Syafiq, lakonan sangat cemerlang Haidar Hasanuddin memangku Imran di atas riba dalam perjalanannya mengenal perenungan hidup lebih besar. Syafiq adalah cinta dalam sekam, sebuah kontradiktori kepada ‘api dalam sekam’ yang diguna pakai menyatakan dendam yang tersembunyi namun berapi-api.

Raung Syafiq (sebelum monolog ala ceramah) kehilangan seorang adik adalah kemuncak segala tragedi. Kerana tiada yang lebih berat daripada menyaksikan orang yang disayang berada di hujung sakarat.

Kalau pilu adalah candu, itu satu-satunya pilu terlalu pedih untuk diramu.

The post Cinta Dalam Sekam: Kenapa kita suka cinta tragik? appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved