Ciri mengesan apnea tidur pada Samsung Galaxy Watch dikembangkan ke 36 lagi negara hari ini membawakan jumlah keseluruhan sokongan kini ke 70 negara kesemuanya. Berita buruk bagi pembaca di Malaysia ialah ciri ini masih belum diaktifkan di negara kita.
Pengesanan apnea tidur disokong pada Galaxy Watch4 dan ke atas yang menggunakan sekurang-kurangnya Wear OS 5.0. Tetapi ia hanya boleh digunakan jika jam tangan pintar disambungkan kepada telefon pintar Samsung yang menggunakan Android 12 dan ke atas.

Penjejakan apnea tidur sudah boleh dilakukan Apple Watch di Malaysia sejak Januari tahun ini. Diharap Samsung Malaysia boleh mendapatkan kelulusan KKM dengan segera kerana di rantau Asia ciri ini sudah boleh dinikmati pengguna Galaxy Watch di negara jiran Filipina, Singapura, dan Vietnam.
Senarai lengkap 70 negara di mana ciri ini disokong adalah seperti di bawah. Jika anda ke negara-negara ini, ciri boleh digunakan sebelum dinyahaktfikan semula sebaik sahaja menjejakkan kaki kembali ke dalam negara.
Australia, Austria, Azerbaijan, Bahrain, Belgium, Bolivia, Brazil, Bulgaria, Chile, Croatia, Cyprus, Denmark, Ecuador, El Salvador, Emiriah Arab Bersatu, Estonia, Filipina, Finland, Georgia, Greece, Guatemala, Hong Kong, Hungary, Iceland, Ireland, Itali, Jerman, Kanada, Kepulauan Cocos (Keeling), Kepulauan Faroe, Korea Selatan, Kuwait, Latvia, Lithuania, Malta, Mesir, Mexico, Nicaragua, Norway, Oman, Panama, Paraguay, Perancis, Peru, Poland, Portugal, Pulau Krismas, Pulau Norfolk, Qatar, Republik Czech, Republik Dominican, Réunion, Romania, Rusia, Sepanyol, Singapura, Slovakia, Slovenia, Sweden, Switzerland, United Kingdom, Venezuela, Vietnam, and Yaman.

