Citaglobal meterai PPA 21 tahun dengan TNB bagi loji solar 200MW di Kuantan

LocalBusiness & Finance
23 Dec 2025 • 2:34 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Citaglobal meterai PPA 21 tahun dengan TNB bagi loji solar 200MW di Kuantan
image is not available
liza23/12/2025 - 14:34 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Dis – Citaglobal Berhad memeterai Perjanjian Pembelian Tenaga (Power Purchase Agreement, PPA) dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi pembangunan loji solar fotovoltaik berskala besar berkapasiti 200 megawatt (MW) di Empangan Chereh, Kuantan, Pahang.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Citaglobal berkata perjanjian itu ditandatangani pada 17 Disember 2025 oleh Chereh Solar Sdn Bhd (CSSB), syarikat tujuan khas (SPV) yang ditubuhkan oleh konsortium melibatkan Abu Dhabi Future Energy Company PJSC (Masdar), Citaglobal Renewable Energy Sdn Bhd dan TIZA Global Sdn Bhd.

 

CSSB ditubuhkan pada 9 Oktober 2025 bagi melaksanakan projek tersebut selepas konsortium berkenaan menerima Surat Pemberitahuan daripada Suruhanjaya Tenaga pada 2 September 2025 yang mengesahkan pemilihannya sebagai pembida disenarai pendek.

 

Menurut Citaglobal, PPA itu melibatkan penjualan tenaga elektrik yang dijana oleh loji solar berkenaan kepada TNB untuk tempoh 21 tahun bermula dari tarikh operasi komersial, yang disasarkan pada Mac 2028.

 

CSSB merupakan syarikat yang terlibat dalam operasi kemudahan penjanaan tenaga elektrik dengan modal saham terbitan sebanyak RM100, merangkumi 100 saham biasa. 

 

Pegangan saham CSSB terdiri daripada Masdar Malaysia Chereh Holdings RSC Limited sebanyak 49%, Citaglobal Renewable Energy Sdn Bhd sebanyak 30% dan TIZA Global Sdn Bhd sebanyak 21%.

 

Citaglobal berkata projek itu tidak dijangka menimbulkan risiko ketara selain risiko penyiapan dan operasi yang lazim bagi projek infrastruktur tenaga. 

 

“Lembaga pengarah percaya pengalaman serta kepakaran pasukan pengurusan Citaglobal dan konsortium akan membolehkan risiko tersebut ditangani dengan berkesan,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Dari segi kewangan, pemeteraian PPA itu tidak memberi kesan kepada modal saham dan pegangan pemegang saham utama syarikat serta tidak mempunyai kesan material ke atas pendapatan, aset bersih dan tahap gearing kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.

 

Bagaimanapun, projek tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan kumpulan apabila mula beroperasi secara komersial sepanjang tempoh PPA selama 21 tahun.

 

Citaglobal turut memaklumkan bahawa TIZA Global merupakan pemegang saham utama syarikat, manakala Pengerusi Eksekutif dan Presiden Citaglobal, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, juga merupakan pengarah dan pemegang saham tunggal TIZA Global.

 

Selain daripada perkara yang didedahkan itu, tiada pengarah, pemegang saham utama atau ketua eksekutif kumpulan yang mempunyai sebarang kepentingan langsung atau tidak langsung dalam PPA berkenaan.

 

Syarikat menambah bahawa pemeteraian PPA itu tidak tertakluk kepada kelulusan pemegang saham, namun kelulusan berkenaan projek akan diperoleh sekiranya diperlukan selepas kos pembangunan muktamad dimuktamadkan, selaras dengan Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia.

 

Astramina Advisory Sdn Bhd dilantik sebagai penasihat kewangan Citaglobal bagi projek berkenaan. - DagangNews.com

Terkini standard