
Selepas Claude Mythos diumumkan, Anthropic tidak membenarkan model terkini mereka ini diakses secara terbuka kerana risau ia disalah gunakan pihak tidak bertanggungjawab. Maka Project Glasswing diumumkan dengan ia memberikan sekitar 50 rakan kongsi akses tertutup untuk mereka mengesan sendiri kerentanan pada sistem yang mereka gunakan.
Anthropic baru sahaja mengumumkan kemas kini pertama Project Glasswing dan mendedahkan setakat ini lebih 10,000 kerentanan keselamatan tahap tinggi dan kritikal berjaya dikesan menggunakan Claude Mythos Preview. Kebanyakan rakan kongsi menemui ratusan kelemahan kritikal atau tinggi dalam kod mereka, dengan peningkatan kadar penemuan lebih 10 kali ganda berbanding sebelum ini.

Cloudflare misalnya menemukan 2,000 pepijat, termasuk 400 di bawak kategori kritikal/ dan tinggi. Mozilla menemukan 271 kelemahan dalam Firefox 150 menggunakan Mythos Preview, lebih 10 kali ganda berbanding Firefox 148 dengan Claude Opus 4.6. Sementara itu Vendor besar seperti Palo Alto Networks, Microsoft dan Oracle kini mengeluarkan tampalan keselamatan pada kadar jauh lebih pantas.
Lebih 1,000 projek sumber terbuka telah diimbas, menghasilkan 6,202 kelemahan kritikal/tinggi daripada 23,019 jumlah keseluruhan. Mythos Preview menemui kelemahan besar dalam perpustakaan kriptografi wolfSSL yang membolehkan pemalsuan sijil yang kini telahpun ditampal (CVE‑2026‑5194). Cabaran utama sekuriti kini ialah kemampuan manusia untuk menilai, melapor dan membangunkan tampalan, bukan lagi mencari kerentanan yang wujud dalam sistem.
Athropic mengatakan model dalam kelas Mythos belum boleh diberikan kepada umum kerana tiada syarikat, termasuk Anthropic, mempunyai perlindungan cukup kuat untuk mencegah penyalahgunaan model berkeupayaan tinggi. Project Glasswing akan diperluas kepada lebih banyak rakan kongsi kritikal termasuk kerajaan Amerika Syarikat dan sekutunya. Anthropic merancang membenarkan model Mythos diakses secara umum apabila perlindungan keselamatan yang jauh lebih kukuh telah dibangunkan.





