Contohi masyarakat Cina pertahan akhbar

LocalOpinion
31 Aug 2026 • 8:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Contohi masyarakat Cina pertahan akhbar

Di mana-mana sahaja ketika ini, pekerja industri media cetak arus perdana seperti Kumpulan Utusan, Media Prima dan Karangkraf akan berdepan dengan soalan begini:

“Akhbar kamu ada jual lagi ke? Ada ke lagi orang baca surat khabar, orang dah beralih ke onlinelah.”

Soalan itu sentiasa meniti di bibir-bibir masyarakat terutamanya orang Melayu. Tidak peduli dengan nasib lidah bangsa yang mempertahankan tanah air dan mengangkat segala isu untuk diketengahkan bakal mati ditelan zaman.

Suka menceduk dan mengambil berita sesuka hati tanpa dikenakan bayaran menambah lagi keseronokan mereka membaca secara online dan melupakan terus akhbar.

Zaman langganan akhbar merudum bukan sahaja mencengkam di Malaysia, bahkan ia merupakan masalah dunia.

Kosmo! misalnya menggunakan berita utama (lead story) eksklusif untuk memikat selera pembaca hampir setiap hari. Ibarat peniaga nasi lemak, ia sama dengan penjual lain tetapi bahan, masakan, lauk dan air tangan yang menentukan sama ada ia disukai atau dipinggirkan.

Begitu juga dengan akhbar lain. Masing-masing berlumba-lumba untuk melariskan jualan akhbar dengan meletakkan kelainan tetapi jika tiada sokongan daripada bangsa sendiri, ia tidak akan ke mana.

Contohilah masyarakat Cina yang berterusan memberi sokongan kepada akhbar mereka. Tidak pasti sama ada akhbar Cina masih diterbitkan dalam dua edisi (pagi dan petang) tetapi jualan mereka dikatakan masih selesa.

Jika kita membuat carian di Google, masyarakat Cina mempertahankan akhbar kerana ia dianggap sebagai salah satu daripada ‘tiga tonggak utama’ (bersama sekolah Cina dan persatuan Cina) yang berfungsi memelihara identiti, budaya, hak pendidikan, dan kebajikan komuniti Tionghoa di Malaysia.

Antara faktor lain termasuk sokongan pendidikan dan budaya seperti yang dianjurkan di dalam kolum khas dalam akhbar Sin Chew Daily dan Nanyang Siang Pau.
Sokongan juga diberikan sebagai platform untuk menyuarakan sentimen, pandangan politik dan isu sosioekonomi tempatan yang dihadapi di peringkat nasional.

Mereka juga menjadikan akhbar sebagai alat saling kebergantungan NGO dan perniagaan untuk menyampaikan dan meluaskan publisiti aktiviti kebajikan dan pengiklanan perniagaan.

Sudah tentu orang Melayu paling ramai menduduki Malaysia dan amat mengecewakan sekiranya salah satu akhbar arus perdana yang masih bersiaran akan berdepan dengan hari kematiannya.

Arus kemodenan dan maklumat di hujung jari yang sering diagung-agungkan belum tentu sahih dan boleh dipercayai kerana sesiapa sahaja boleh menjadi wartawan di media sosial.

Kewujudan akhbar sudah tidak lagi memberi kepentingan kepada masyarakat. Pada musim bulan kemerdekaan ini, kita melihat pelbagai pihak cuba menunjukkan koleksi barangan antik termasuk akhbar edisi merdeka yang ada dalam simpanan mereka.

Ia tidak lebih kepada nostalgia. Apa hendak jadi kepada suara dan lidah masyarakat sudah tidak dipedulikan lagi.

Apa yang lebih penting, petugas yang membuatkan akhbar itu hidup perlu dijaga kerana mereka inilah yang menyebarkan segala maklumat dan memperjuangkan nasib bangsa.

The post Contohi masyarakat Cina pertahan akhbar appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved