
Soalan:
Saya suka berkongsi kata-kata motivasi di media sosial, tapi hidup saya pun terumbang ambing. Ada kawan cakap saya hipokrit dan tidak layak untuk berkongsi begitu. Sedih sangat, salah ke cara saya?
Yang serba salah
Jawapan:
Ramai orang berkongsi kata-kata motivasi di media sosial dengan harapan dapat memberi manfaat dan kekuatan kepada orang lain. Walaupun seseorang itu masih melalui ujian dan cabaran hidup, ia tidak bermakna mereka bersikap hipokrit. Hakikatnya, tiada manusia yang sempurna. Setiap orang masih belajar, memperbaiki diri dan berusaha menjadi versi terbaik diri sendiri. Berikut adalah beberapa tip untuk anda:
1. Betulkan niat: Pastikan setiap perkongsian dibuat dengan niat untuk memberi manfaat, bukan untuk menunjukkan bahawa diri lebih baik daripada orang lain. Niat yang ikhlas akan menjadikan perkongsian lebih bermakna dan lebih mudah menyentuh hati mereka yang membacanya.
2. Tiada manusia sempurna: Setiap orang mempunyai cabaran dan masalah dalam hidup. Walaupun sedang berjuang, anda masih boleh berkongsi ilmu, pengalaman dan kata-kata positif yang mungkin memberi kekuatan kepada orang lain.
3. Jangan pandangan negatif pada diri: Setiap orang berhak berkongsi pandangan. Tidak semua orang akan menerima atau bersetuju, dan itu adalah perkara biasa. Selagi perkongsian membawa kebaikan, teruskan dengan yakin.
4. Terima hidup adalah ujian: Tidak mengapa jika kehidupan anda ketika ini terasa tidak menentu. Ingatlah anda hanyalah manusia biasa, bukannya robot yang perlu sentiasa kuat, stabil dan sempurna sepanjang masa. Setiap orang mempunyai masa untuk lemah, berehat dan bangkit semula.
5. Peringatan kepada diri: Kadang-kadang, kata-kata motivasi yang kita tulis sebenarnya adalah peringatan kepada diri sendiri. Menulis atau berkongsi perkara positif boleh menjadi terapi yang membantu anda menguatkan semangat. Tidak salah jika dalam proses membantu diri sendiri, perkongsian itu turut memberi manfaat kepada orang lain.
6. Jaga kesejahteraan diri: Selain membantu orang lain, jangan sampai anda mengabaikan emosi dan keperluan diri sendiri. Luangkan masa untuk berehat, dapatkan sokongan dan lakukan perkara yang boleh membantu memulihkan semangat anda.
Kesimpulan, berkongsi kebaikan bukanlah satu kesalahan. Selagi dilakukan dengan niat yang ikhlas dan jujur, ia tetap memberi nilai. Kadangkala, ketika kita menguatkan orang lain, kita juga sedang menguatkan diri sendiri.
The post Cuba jadi positif tapi didakwa hipokrit appeared first on Utusan Malaysia.






