Cosmos Technology ambil alih 51% ekuiti Orisystems pada harga RM16.52 juta menerusi terbitan saham

LocalBusiness & Finance
20 Oct 2026 • 10:50 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Cosmos Technology ambil alih 51% ekuiti Orisystems pada harga RM16.52 juta menerusi terbitan saham Image from: Cosmos Technology ambil alih 51% ekuiti Orisystems pada harga RM16.52 juta menerusi terbitan saham amree20/10/2026 - 10:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 20 Okt — Cosmos Technology International Berhad mencadangkan pengambilalihan 51% kepentingan dalam syarikat perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS), Orisystems Opto Sdn Bhd, pada harga indikatif RM16.52 juta menerusi terbitan saham baharu.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan yang ditubuhkan pada 2019 dan berpangkalan di Seri Kembangan, Selangor itu sudah memeterai surat hasrat tidak mengikat dengan Akil Ahmad Ishaq dan Othman Ali bagi pengambilalihan sejumlah 510,000 saham Orisystems.

 

Dua individu tersebut merupakan pengarah serta pemegang saham besar Orisystems. Sebagai balasan, Cosmos Technology bercadang menerbitkan 33.05 juta saham baharu pada harga 50 sen sesaham bagi memenuhi keseluruhan nilai pertimbangan pengambilalihan RM16.52 juta.

 

"Harga terbitan berkenaan mewakili premium kira-kira 27.71%, atau 10.85 sen, berbanding harga purata wajaran volum saham selama tempoh lima hari sebanyak 39.15 sen setakat dagangan pada 16 Oktober 2026," jelas kenyataan kumpulan tersebut.

 

Menurutnya, Orisystems menjamin keuntungan selepas cukai sekurang-kurangnya RM3.6 juta setahun bagi setiap tahun kewangan berakhir 31 Disember FY27 hingga FY29, bersamaan jaminan keuntungan terkumpul sebanyak RM10.8 juta sepanjang tempoh tiga tahun itu.

 

Jelas Cosmos Technology, nilai pertimbangan indikatif berkenaan juga bersamaan gandaan harga kepada pendapatan sebanyak sembilan kali ganda, berdasarkan kira-kira 51% daripada keuntungan terjamin bagi setiap tahun kewangan.

 

Cosmos Technology_DagangNews2026

 

Ditubuhkan pada 1992, Orisystems ujarnya, terlibat aktif dalam kerja pembuatan alat ganti dan komponen elektronik untuk kegunaan umum serta bidang aeroangkasa, selain menjalankan aktiviti perdagangan am dan perkhidmatan pembungkusan produk.

 

"Cadangan pengambilalihan ini memberi peluang kepada kumpulan untuk memperluaskan portfolio perniagaan dan mengembangkan kehadirannya dalam segmen pasaran yang saling melengkapi. Urus niaga itu juga membolehkan kumpulan memasuki industri EMS," tambahnya.

 

Antaranya jelas Cosmos Technology, dengan memanfaatkan operasi sedia ada Orisystems tanpa kumpulan itu perlu membangunkan keupayaan operasi serta sumber berkenaan dari peringkat awal yang dijangka banyak perbelanjaaan harus dikeluarkan.

 

Bagaimanapun, cadangan itu masih tertakluk kepada usaha wajar, kelulusan lembaga pengarah dan pemegang saham, kelulusan berkaitan kepelbagaian perniagaan serta kelulusan Bursa Malaysia bagi saham balasan.

 

Kedua-dua pihak berkenaan katanya, dijangka memeterai perjanjian muktamad dalam tempoh enam bulan atau tempoh lanjutan yang dipersetujui bersama.

 

Saham Cosmos Technology ditutup meningkat 1.5 sen atau kira-kira 3.75% kepada sebanyak 41.5 sen dalam dagangan pada 19 Oktober 2026, sekali gus memberikan kumpulan itu permodalan pasaran yang mencecah RM105.45 juta. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved