amree16/10/2026 - 12:41 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 16 Okt — Well Chip Group Berhad mencadangkan terbitan saham hak sehingga RM120 juta bagi membiayai perluasan rangkaian kedai pajak gadai di Johor dan Melaka, selain memperkukuh modal kerja bagi aktiviti pinjaman gadai kumpulan.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, cadangan tersebut membabitkan penerbitan sehingga 120 juta saham biasa baharu pada harga RM1 sesaham, berdasarkan nisbah satu saham hak bagi setiap lima saham sedia ada yang dipegang oleh pemegang saham layak.
Pelaksanaan terbitan itu disokong komitmen pemegang saham majoriti, VYN Holdings Sdn Bhd yang memberikan aku janji tidak boleh batal untuk melanggan sepenuhnya kelayakan saham haknya bernilai RM60.83 juta, dan memenuhi paras langganan minimum ditetapkan.
"Berdasarkan kepada paras minimum berkenaan, Well Chip menyasarkan kutipan kasar sekurang-kurangnya RM60.83 juta, manakala jumlah kutipan boleh mencecah sebanyak RM120 juta sekiranya keseluruhan saham hak dilanggan," jelas kumpulan tersebut.
Daripada hasil terbitan saham tersebut, sebanyak RM30 juta di bawah senario maksimum atau RM15 juta di bawah senario minimum, akan digunakan untuk membangunkan dan membuka banyak cawangan kedai pajak gadai baharu dalam tempoh 24 bulan.
Sementara itu ujarnya, sebanyak RM88.8 juta lagi di bawah senario maksimum atau RM44.63 juta di bawah senario minimum diperuntukkan sebagai modal tunai bagi membiayai pengeluaran pinjaman gadai harian dalam tempoh selama 12 bulan.

Perluasan itu kata Well Chip susulan kelulusan bersyarat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi 12 outlet baharu masing enam di Johor dan Melaka menggunakan hasil terbitan, dengan tiga lokasi dijangka beroperasi menjelang suku pertama 2027.
"Harga terbitan RM1 sesaham mewakili diskaun 14% berbanding harga pasaran ex-hak teori sebanyak RM1.1628 sesaham, berdasarkan purata harga pasaran wajaran volum lima hari setakat 18 September 2026," tambah kumpulan berkenaan.
Katanya, terbitan saham hak dipilih sebagai kaedah pengumpulan dana kerana tiada kecairan pegangan pemegang saham yang melanggan sepenuhnya kelayakan masing-masing, selain mengukuhkan modal tanpa menambah beban faedah seperti pembiayaan bank.
VYN turut memberi komitmen untuk memastikan pegangan saham awam Well Chip kekal sekurang-kurangnya pada paras 25% seperti yang ditetapkan di bawah Peraturan Penyenaraian Bursa Malaysia. Kumpulan itu namun tidak membuat pengaturan penajajaminan.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, kumpulan mencatatkan peningkatan hasil 21.64% kepada RM270.2 juta, manakala pengeluaran pinjaman gadai meningkat 69.53% kepada RM2.31 bilion.
Terbitan hak itu dijangka meningkatkan modal saham terbitan kepada 660.83 juta saham di bawah senario minimum atau 720 juta saham di bawah senario maksimum, selain menurunkan nisbah gegaran daripada 1.05 kali kepada masing-masing 0.94 kali dan 0.85 kali. - DagangNews.com





