Asdion susun semula syarikat selepas ambil alih 51% ekuiti Transeaways Shipping daripada Taz Logistics

LocalBusiness & Finance
15 Oct 2026 • 12:50 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Asdion susun semula syarikat selepas ambil alih 51% ekuiti Transeaways Shipping daripada Taz Logistics Image from: Asdion susun semula syarikat selepas ambil alih 51% ekuiti Transeaways Shipping daripada Taz Logistics amree15/10/2026 - 12:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 15 Okt — Asdion Berhad menyusun semula struktur kumpulan setelah mengambil alih pegangan 51% dalam Transeaways Shipping Sdn Bhd pada harga RM824,734.04, sekali gus menjadikan syarikat ejen perkapalan itu sebagai anak syarikat milik langsungnya.

 

Menurut makluman kumpulan tersebut kepada Bursa Malaysia, langkah penstrukturan semula secara dalaman itu sudah lengkap diselesaikan pada 12 Oktober 2026, yang membabitkan pemindahan sejumlah 255,000 saham biasa Transeaways daripada Taz Logistics Sdn Bhd.

 

Urus niaga pengambilalihan tersebut dilaksanakan ketika kumpulan berkenaan sebelum ini dilaporkan berdepan dengan risiko penyahsenaraian apabila Bursa Malaysia bertindak menggantung dagangan saham syarikat itu mulai 14 Julai 2026.

 

Bagaimanapun, pengumuman terbaharu mengenai penyusunan semula ini tidak menyatakan sama ada urus niaga dilaksanakan tersebut ada berkaitan secara langsung dengan status penyenaraian syarikat.

 

"Usaha penyusunan semula ini bertujuan meningkatkan kecekapan operasi keseluruhan kumpulan serta membolehkan perancangan perniagaan dilaksanakan dengan lebih baik," jelas Asdion.

 

Transeaways merupakan syarikat persendirian yang diperbadankan di Malaysia pada 2 September 1998, dengan aktiviti utama sebagai ejen perkapalan. Syarikat itu mempunyai modal saham terbitan dan berbayar sebanyak RM500,000, terdiri daripada 500,000 saham biasa.

 

Asdion_DagangNews2026

 

Sebelum urus niaga selesai, Transeaways merupakan anak syarikat milik 51% Taz Logistics, yang dimiliki sepenuhnya secara tidak langsung oleh Asdion. Selepas pemindahan saham itu, Transeaways menjadi anak syarikat milik langsung Asdion dengan pegangan 51%.

 

Sementara baki kira-kira 49% kepentingan dalam Transeaways dipegang oleh Ang Chin Poo dan Yeoh Seng Tee, masing-masing sebanyak 24.5%, yang bersamaan dengan sejumlah 122,500 saham biasa bagi setiap seorang.

 

"Harga pembelian ditentukan berdasarkan kepada rundingan antara pembeli dan penjual yang bersetuju, dengan mengambil kira laporan suku tahunan tidak diaudit mengenai keputusan disatukan bagi tempoh kewangan berakhir 31 Mac 2026," katanya.

 

Dari segi kesan kewangan pula, pengambilalihan berkenaan tidak dijangka memberi sebarang kesan material terhadap pendapatan atau aset bersih Asdion bagi tempoh kewangan yang berakhir pada 31 Mac 2027.

 

Penyusunan semula itu juga tidak memerlukan kelulusan pemegang saham atau mana-mana pihak berkuasa lain. Syarikat turut mengesahkan tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak yang berkaitan dengan mereka mempunyai kepentingan langsung atau tidak langsung dalam urus niaga itu.

 

Lembaga Pengarah Asdion berpandangan bahawa pengambilalihan itu adalah demi kepentingan terbaik kumpulan, dengan matlamat meningkatkan kecekapan operasi dan memperkemas perancangan perniagaan melalui perubahan struktur pemilikan anak syarikat. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved