amree16/10/2026 - 14:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 16 Okt — Ancom Logistics Berhad berhasrat mengambil alih keseluruhan ekuiti Green Lagoon Technology Sdn Bhd (GLTSB) yang bernilai RM120 juta menerusi pelaksanaan cadangan pengambilalihan terbalik (RTO).
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, cadangan tersebut melibatkan penerbitan sebanyak satu bilion saham baharu dengan harga terbitan 12 sen sesaham, namun urus niaga berkenaan masih lagi dalam proses penyempurnaan.
Cadangan ini berpotensi mengubah fokus perniagaan kumpulan itu, bergantung pada hasil dan struktur akhir urus niaga, kerana RTO akan menjadikan perniagaan yang diambil alih menjadi teras utama syarikat tersenarai tersebut pula.
"Langkah ini juga merupakan sebahagian penstrukturan hala tuju strategik kumpulan," jelas Ancom Logistics. Kelazimannya RTO juga membolehkan sesebuah perniagaan memperoleh akses pasaran modal melalui syarikat yang sudah tersenarai.
GLTSB yang ditubuhkan sejak 2010 dan berpangkalan di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, terlibat dalam kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC), serta operasi dan penyelenggaraan loji janakuasa biogas daripada sisa kelapa sawit.
Dalam perkembangan berkaitan, ia turut mencadangkan pelupusan keseluruhan anak syarikat logistik sedia ada kepada syarikat induknya, Ancom Nylex Berhad, secara tunai. Usaha itu merupakan sebahagian penstrukturan korporat kumpulan.
Di sebalik itu, kumpulan berdepan ketidaktentuan geopolitik global termasuk ketegangan di Timur Tengah yang menjejaskan laluan perdagangan dan rantaian bekalan. Kenaikan harga bahan api serta kos operasi turut menjadi cabaran dipantau.

Bagi tempoh suku pertama yang berakhir pada 31 Ogos 2026 (1QFY27), Ancom Logistics mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM1.07 juta, meningkat daripada hanya kira-kira RM580,000 dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
"Hasil kumpulan ini turut meningkat sedikit kepada RM9.28 juta berbanding RM9.22 juta, manakala keuntungan sebelum cukai (PBT) bertambah kepada sebanyak RM1.57 juta daripada RM960,000 pada suku sama tahun lalu," katanya.
Keuntungan yang boleh diagihkan kepada pemilik syarikat induk naik kepada sebanyak RM356,000 berbanding RM52,000. Pendapatan asas sesaham turut bertambah kepada kira-kira 0.08 sen daripada 0.01 sen sebelumnya.
Segmen logistik kekal sebagai penyumbang utama hasil, mencatatkan RM9.28 juta. Untung segmen meningkat kepada RM2.84 juta berbanding RM2.14 juta, didorong pengurangan kos penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan pengangkut utama.
Sementara itu ujar Ancom Logistics, segmen pegangan pelaburan mengurangkan kerugian kepada RM410,000 berbanding RM490,000 dalam tempoh sama tahun sebelumnya, susulan pengurusan kos korporat lebih cekap di peringkat syarikat pegangan.
"Ancom Nylex turut sudah melanggan 16.92% ekuiti dalam GLTSB dengan pertimbangan RM22 juta pada 6 Julai 2026. Langganan tersebut menjadikan syarikat itu antara vendor di bawah cadangan pengambilalihan GLTSB oleh kumpulan ini," katanya.
Pihak pengurusan menyatakan akan terus memantau perkembangan ekonomi domestik dan global, khususnya pergerakan harga bahan api serta kos operasi lain. Lembaga Pengarah juga menegaskan komitmen untuk mengurus perniagaan secara berhati-hati. - DagangNews.com






