L&P Global ceburi bidang pembinaan menerusi kontrak pertama di Melaka dan Kuala Lumpur

LocalBusiness & Finance
11 Nov 2026 • 5:48 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

L&P Global ceburi bidang pembinaan menerusi kontrak pertama di Melaka dan Kuala Lumpur Image from: L&P Global ceburi bidang pembinaan menerusi kontrak pertama di Melaka dan Kuala Lumpur hamden11/11/2026 - 17:48 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 11 Nov – L&P Global Berhad menerima dua surat tawaran bersyarat (CLOA) bernilai keseluruhan RM11.76 juta bagi melaksanakan kerja-kerja berkaitan pembinaan untuk projek pembangunan hartanah di Melaka dan Kuala Lumpur.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat berkata kedua-dua CLOA itu diterima daripada Taghill Projects Sdn Bhd (Taghill) dan Nestcon Builders Sdn Bhd (Nestcon) masing-masing pada 4 dan 6 November 2026.

 

L&P berkata, tawaran daripada Taghill bernilai RM3.5 juta bagi kerja-kerja pembekalan, penghantaran, pemasangan, pengujian dan pentauliahan sistem perlindungan kebakaran untuk projek pembangunan bercampur di Melaka.

 

Projek yang dibangunkan Taghill Land Sdn Bhd itu merangkumi dua blok suite servis dengan keseluruhan 648 unit, kemudahan sokongan serta tempat letak kereta.

 

Sementara itu, CLOA daripada Nestcon bernilai RM8.26 juta membabitkan kerja-kerja batuan seni bina termasuk pemasangan batu bata dan kerja melepa bagi cadangan pembangunan pangsapuri suite di Taman Wahyu, Kuala Lumpur.

 

Pembangunan tersebut merangkumi dua blok pangsapuri suite dengan keseluruhan 1,214 unit, podium tempat letak kereta setinggi 10 tingkat, aras kemudahan, unit penthouse dan dupleks, pondok pengawal serta aras bawah tanah.

 

Tertakluk penyempurnaan syarat terdahulu

Bagaimanapun, kumpulan itu berkata kedua-dua tawaran berkenaan masih tertakluk kepada penyempurnaan syarat terdahulu yang ditetapkan dalam surat tawaran masing-masing.

 

Antara syarat tersebut termasuk mendapatkan kelulusan pemegang saham dan/atau pihak berkuasa kawal selia yang berkaitan, jika diperlukan, serta pendaftaran dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mengikut gred, kategori dan pengkhususan yang bersesuaian.

 

Syarat berkenaan perlu dipenuhi dalam tempoh enam bulan dari tarikh setiap CLOA atau tempoh lanjutan yang dipersetujui secara bertulis. Kegagalan memenuhi syarat tersebut akan menyebabkan tawaran berkenaan luput.

 

L&P turut memaklumkan bahawa surat tawaran rasmi akan dikeluarkan selepas semua syarat terdahulu dipenuhi dan akan menggantikan surat tawaran bersyarat berkenaan.

 

Dari segi kewangan, kedua-dua CLOA itu dijangka menyumbang secara positif kepada keuntungan masa depan dan aset bersih kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaan projek, tertakluk kepada pemenuhan syarat terdahulu dan permulaan kerja-kerja subkontrak.

 

Menurut L&P, penerimaan kedua-dua tawaran itu menandakan kemasukan kumpulan ke dalam aktiviti berkaitan pembinaan selain membuka peluang untuk menyertai projek pembangunan hartanah berskala besar.

 

Langkah itu juga dijangka memperluas asas hasil dan prospek pendapatan masa depan kumpulan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved