MGB-Doka jalin kerjasama strategik tingkatkan inovasi pembinaan IBS

28/07/2025 - 14:22
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 28 Julai – MGB Berhad, anak syarikat LBS Bina Group Bhd yang terlibat dalam pembinaan dan pembangunan hartanah, telah menjalin kerjasama strategik dengan Doka Formwork Malaysia Sdn Bhd melalui pemeteraian Memorandum Kolaborasi (MoC) bagi membangunkan penyelesaian kejuruteraan inovatif berasaskan elemen konkrit pratuang menerusi pendekatan Sistem Binaan Berindustri (IBS).
Doka Formwork Malaysia, anak syarikat Doka GmbH yang berpangkalan di Austria, mempunyai kepakaran dalam sistem acuan moden, perancah, reka bentuk kejuruteraan dan sokongan teknikal untuk kerja konkrit di tapak.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan MGB, Tan Sri Ir Dr Lim Hock San berkata , kepakaran itu akan melengkapi kekuatan MGB dalam penggunaan teknologi IBS, terutama bagi projek perumahan berskala besar.
“Melalui kerjasama ini, kedua-dua pihak akan mempertingkat dan mengintegrasi teknologi masing-masing, menggabungkan sistem acuan dan perancah dengan komponen konkrit pratuang seperti panel di tapak binaan, bagi memperkemas proses pembinaan serta meningkatkan kecekapan,” katanya dalam satu kenyataan.
MoC tersebut dimeterai baru-baru ini dengan kehadiran wakil utama kedua-dua syarikat termasuk Hock San, Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Datuk Lim Lit Chek; CEO Doka GmbH, Robert Hauser, dan Pengurus Negara Doka Malaysia Teh Aun Kua.
Tambahnya, kerjasama itu membolehkan kedua-dua pihak meneroka peluang baharu, menyelaras strategi teknikal dan melaksanakan penyelesaian pembinaan berorientasikan masa depan yang mampu meningkatkan prestasi dan nilai jangka panjang.
“Dengan menjalin kerjasama bersama peneraju acuan global seperti Doka, kami bukan sahaja meningkatkan kualiti dan kecekapan projek kami di Malaysia dan Arab Saudi, tetapi juga mengukuhkan komitmen kami terhadap inovasi, kelestarian dan kecemerlangan bertaraf antarabangsa.
“Kami percaya ini akan membawa hasil projek yang lebih kukuh serta nilai jangka panjang kepada semua pihak berkepentingan,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama itu akan menyokong usaha berterusan syarikat untuk mendigitalkan dan mengoptimumkan proses pembinaan, selaras dengan peralihan industri Malaysia ke arah yang lebih moden dan mampan.
Teknologi IBS syarikat itu juga telah membantu mengurangkan pembaziran bahan dan memperbaiki kawalan sumber.
Selaras dengan sasaran Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), MGB turut memberi tumpuan kepada peningkatan kemahiran tenaga kerjanya terutama dalam bidang automasi, reka bentuk dan pembuatan serta mengurangkan jejak karbon melalui amalan pembinaan lestari.- DagangNews.com
standard


