
PETALING JAYA: Cuaca panas dan kurang hujan dijangka berterusan di hampir seluruh negara sehingga hujung minggu ini, sekali gus berpotensi menyebabkan keadaan jerebu berterusan, khususnya di selatan Sarawak dan barat Semenanjung.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd Hisham Mohd Anip berkata, keadaan itu berlaku kerana negara masih berada dalam Monsun Barat Daya yang dijangka berterusan sehingga penghujung September.
“Keadaan ini, bersama pengaruh angin dari arah selatan serta bilangan titik panas yang kekal banyak di Borneo dan Sumatera berpotensi mengakibatkan jerebu terutama di selatan Sarawak serta barat Semenanjung,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, keadaan jerebu berpotensi bertahan lebih lama selagi kebakaran terbuka yang mengakibatkan banyak titik panas terus berlaku di Kalimantan dan Sumatera.
Katanya, asap daripada kebakaran tersebut boleh dibawa oleh pergerakan angin merentasi sempadan sehingga menjejaskan kualiti udara di negara ini.
“Selagi bilangan titik panas akibat daripada kebakaran terbuka kekal banyak di Kalimantan dan Sumatera, keadaan jerebu dijangka akan berterusan di selatan Sarawak dan barat Semenanjung akibat daripada asap kebakaran yang merentas sempadan,” katanya.
Dalam tempoh beberapa hari akan datang, cuaca panas dan kurang hujan dijangka terus berlaku di kebanyakan tempat di seluruh negara.
Bagaimanapun, hujan sementara dalam kuantiti yang sedikit masih berpotensi berlaku terutama di beberapa kawasan di utara dan timur Semenanjung serta kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.
Menurut beliau, kualiti udara dijangka kekal tidak sihat selagi kebakaran terbuka di Kalimantan dan Sumatera tidak berjaya dikawal dan dipadamkan.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti luar ketika keadaan berjerebu, memakai pelitup muka serta minum air secukupnya bagi memastikan tubuh kekal terhidrat.
MetMalaysia turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka serta mengamalkan penjimatan penggunaan air sepanjang tempoh cuaca panas.
Orang ramai juga disarankan supaya sentiasa mendapatkan maklumat cuaca terkini dan sahih menerusi saluran rasmi MetMalaysia serta aplikasi myCuaca. –UTUSAN
The post Cuaca panas, kurang hujan dijangka berterusan hingga hujung minggu appeared first on Utusan Malaysia.




![[VIDEO] Rakyat Indonesia malu jerebu selubungi Malaysia](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/jerebu-kuala-lumpur-1024x687.jpeg)

